Friday, March 1, 2013

Kampung Parit Marjunit juara ADC Pontian






PONTIAN 28 Feb. - Setelah dua kali meraih tempat kedua, akhirnya Kampung Parit Marjunit, Sungai Pinggan, dinobatkan sebagai johan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Parlimen Pontian tahun ini dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 selepas menewaskan tujuh kampung tradisional lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan (3) Mukim Sungai Pinggan, Mohd. Kasmadi Suboh berkata, kejayaan Kampung Parit Marjunit merupakan kemenangan kesemua 1,480 penduduknya serta kampung lain di sekitarnya.
"Wang kemenangan ini akan kami gunakan untuk meningkatkan lagi keceriaan serta menambah baik kemudahan sedia ada bagi memenuhi setiap aspek penilaian yang diperlukan seperti landskap, keceriaan serta lain-laifn aspek penilaian untuk pertandingan di peringkat daerah nanti," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah tersebut.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Dataran Inap Desa Kampung Puteri Menangis, di sini semalam.
Sebanyak lapan kampung tradisional bertanding di peringkat akhir bagi merebut hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM53,000 yang dianjurkan oleh Pejabat Ahli Parlimen Pontian iaitu Kampung Jawa Ulu, Kampung Kayu Ara Pasong, Kampung Lubok Sipat, Kampung Parit Patah, Kampung Parit Sikom Ulu dan Kampung Parit Wahab.
Tempat kedua dimenangi Kampung Kayu Ara Pasong yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan ketiga Kampung Parit Patah dengan ganjaran RM5,000. Tujuh aspek yang dinilai dalam pertandingan ini adalah kepimpinan, pendidikan, ekonomi, kebersihan dan kesihatan, keceriaan dan keindahan, kerohanian dan sivik serta ICT dan teknologi maklumat.

No comments:

Post a Comment