Wednesday, March 20, 2013

Kedah duduki senarai teratas untuk ditawan



ALOR SETAR 13 Mac - Kedah diletakkan pada kedudukan nombor satu dalam senarai negeri-negeri untuk ditawan semula Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, perkara itu berdasarkan beberapa faktor yang dilihat memberi kelebihan kepada BN antaranya sokongan padu daripada pemimpin dan bekas pemimpin BN, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, Kedah juga dilihat berpeluang dirampas semula kerana pembangkang dalam pilihan raya umum 2008 hanya menang dengan majoriti tipis iaitu kira-kira 1,400 undi.
Faktor lain, menurut Ahmad, sentimen kuat rakyat Kedah yang mahu BN mentadbir semula negeri tersebut kerana dari sudut sejarah Kedah selama ini merupakan milik UMNO.
“Rakyat Kedah juga sudah melihat wujudnya pelbagai isu yang menunjukkan Kerajaan Pas Kedah tidak mampu mentadbir negeri dengan baik.
“Ini termasuk isu pembalakan rakus dan pergolakan dalaman kepimpinan Pas Kedah sendiri, jadi peluang BN cukup cerah," katanya dalam sidang akhbar sebelum melancarkan Tabung Perajurit Lahad Datu oleh UMNO Kedah dan Taklimat Penerangan UMNO di Bangunan UMNO, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Menurut Ahmad, golongan muda dan pengundi atas pagar juga dilihat memihak kepada BN berikutan pelbagai dasar yang diumumkan kerajaan seperti skim bantuan orang muda dan penyediaan peluang pekerjaan selain keputusan kerajaan dalam isu-isu semasa seperti di Lahad Datu, Sabah.

No comments:

Post a Comment