Sunday, May 19, 2013

P.164, N.53, N.54

KHAMIS: 1.45pm : 16 Mei 2013 Mula bertugas laksanakan amanah

















3 pemimpin Pontian cipta sejarah


PONTIAN 17 Mei - Pelantikan ketiga-tiga pemimpin dari Pontian menyandang jawatan timbalan menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bukan sahaja mencatatkan satu sejarah baharu malah dianggap penghormatan tertinggi pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) kepada pemimpin dari daerah ini.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pontian, Muhamaddan Ahmad berkata, pelantikan Datuk Ahmad Maslan sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Hasni Mohammad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya dan Pembangunan Luar Bandar serta Datuk Tee Siew Kiong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri amat membanggakan seluruh rakyat di daerah ini.
Beliau berkata, pelantikan ketiga-tiga wakil rakyat itu merupakan hadiah paling bermakna kepada para pengundi di kawasan Parlimen Pontian.
"Ia merupakan satu sejarah baharu kepada Parlimen Pontian, UMNO dan BN. BN Pontian ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas kepercayaan yang diberikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Maslan yang merupakan Ahli Parlimen Pontian sebelum ini adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan UMNO, Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut manakala Siew Kiong ialah ADUN Pulai Sebatang dan Pengerusi MCA Bahagian Pontian.
Muhamaddan berkata, BN Pontian yakin dengan kemampuan 'trio' Parlimen Pontian bagi membantu menjayakan transformasi negara sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri.
"Penduduk Pontian amat bersyukur dan gembira dengan pelantikan ketiga-tiga pemimpin ini dan berharap mereka dapat membantu membangunkan lagi daerah ini," katanya.

146,500 perwakilan UMNO pilih pucuk pimpinan




Jangan 'meliwat' fikiran rakyat



SEJAK beberapa tahun lalu pembangkang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelirukan rakyat, menimbulkan keraguan dan menghasut rakyat supaya tidak mempercayai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan pelbagai tuduhan. Matlamat mereka adalah untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menjadi pemerintah dengan slogan "Road to Putrajaya".

Terkini selepas gagal menanam keraguan dan menghasut kebencian rakyat ketika berkempen dan pengundian dalam Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13), pembangkang telah mengadakan Himpunan Bantah PRU-13 yang bakal bersambung dengan beberapa siri himpunan.
Mereka tidak sabar untuk menunggu rakyat mengundi pada PRU-14 dalam lima tahun lagi. Mereka bimbang hasutan dan kebencian itu terhakis daripada penyokongnya dan sesetengah pihak.

PERUNTUKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN:
Hak Rakyat Memilih Menerusi Pilihan Raya, Bukan Himpunan
Pendekatannya masih sama iaitu dengan mengelirukan rakyat menggunakan pembohongan dan mengelirukan konon berlaku "penipuan besar-besaran". Atas alasan itu pembangkang mengajak rakyat mengadakan bantahan, himpunan dan demonstrasi jalanan untuk menukar kerajaan, tetapi cara ini adalah tidak demokratik dan tidak mengikut lunas-lunas undang-undang.
Perlembagaan negara menetapkan proses menentukan parti memerintah adalah menerusi pilihan raya, bukan menerusi himpunan, bantahan atau demonstrasi.
Proses pilihan raya yang sama jugalah yang pernah membolehkan bebas rakyat memilih pembangkang memerintah Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Demikian juga sistem demokrasi ini jugalah yang memberi kebebasan rakyat memilih BN menerajui Kerajaan Persekutuan bagi mengurus tadbir negara.
Kebebasan bersuara dan hak berhimpun secara aman adalah hak yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, tetapi bukan sebagai proses pemilihan parti memerintah. Pembangkang sepatutnya memahami dengan jelas Perlembagaan negara dan proses demokrasi yang diamalkan oleh rakyat negara ini dan menghormati keputusan rakyat Malaysia menerusi PRU. Sistem yang sama digunakan di Negara-negara Komanwel, termasuk Australia yang sering menjadi rujukan pembangkang, malah Singapura dan Britain.

Petisyen Sebagai Bantahan Keputusan PRU
Himpunan aman dan demonstrasi jalanan tidak wajar disalahgunakan, sebaliknya bantahan terhadap proses pilihan raya hendaklah dibuat menerusi petisyen pilihan raya. Menurut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, pemilihan ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri tidak boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya yang difailkan ke Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihan raya itu diadakan.
Petisyen adalah hak rakyat. Semua dakwaan dan bukti boleh dibentangkan untuk diadili oleh mahkamah. Sistem mahkamah Malaysia inilah yang selama ini pernah memberi peluang kepada pembangkang mahu pun BN untuk mendapat hak perbicaraan dan keadilan.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar sudah pun menjelaskan, petisyen itu boleh dibuat dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan pilihan raya diwartakan. Menurutnya, SPR dijangka selesai mewartakan keputusan PRU-13 dalam masa dua minggu. Petisyen itu boleh dikemukakan di mahkamah tinggi di negeri masing-masing dan akan diselesaikan dalam masa enam bulan.
Pada PRU 2004, SPR menerima lebih 30 petisyen berhubung keputusan PRU dan petisyen paling banyak diterima pada PRU 1999 yang membabitkan 40 petisyen. Pada PRU 2008, hanya 26 petisyen dikemukakan sedangkan ketika itu berlaku tsunami politik yang tidak berpihak kepada BN.

Sesuatu petisyen boleh dibuat atas sebab perbuatan rasuah atau sebarang salah laku yang mungkin menjejaskan pilihan raya, ketidakpatuhan undang-undang dan peraturan pilihan raya.
Undi Popular Bukan Penentu Keputusan PRU
Sebaliknya pembangkang kini mendakwa mereka menang dan layak memerintah berdasarkan undi popular kerana telah memperolehi jumlah undi yang lebih tinggi daripada BN. Sedangkan undang-undang Malaysia menetapkan proses pilihan raya berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, bukan jumlah undi popular.
Berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi kumpulan majoriti di Dewan Rakyat layak menerajui Kerajaan Persekutuan, manakala majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri akan mengurus tadbir sesebuah Kerajaan Negeri.

Pada PRU-13, 5 Mei lalu, BN berjaya menguasai majoriti Dewan Rakyat dengan memenangi 133 kerusi Parlimen dan menawan semula Kedah dan Perak apabila menguasai majoriti kerusi dua Dewan Undangan Negeri berkenaan. UMNO sendiri menambah kerusi Parlimen daripada 79 kepada 88 Parlimen.
Oleh itu, pembangkang yang sering mendakwa mereka pandai dan layak memerintah sepatutnya faham undang-undang negara ini dan jangan memalukan diri sendiri. Jangan 'meliwat' pengetahuan dan akal sendiri. Malulah dan hormatilah rakyat.
Setiausaha SPR, Datuk Kamarudin Baria menjelaskan, BN berjaya meraih 47% undi popular, manakala PKR 20.0%, DAP 15.4% dan Pas 14.5% (jika dijumlahkan hanya 49.9%).
Sistem PRU di Malaysia bukanlah berdasarkan undi popular, tetapi keputusan menentukan majoriti adalah berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti yang bertanding. Berdasarkan sistem ini, tentulah undi popular bagi kawasan bandar lebih tinggi daripada kawasan luar bandar kerana sesebuah kawasan Parlimen di bandar mempunyai jumlah pengundi yang jauh lebih banyak daripada Parlimen di pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak.
Sempadan Parlimen di bandar pula lebih kecil, jadi penduduk atau pengundinya lebih padat, maka seseorang calon boleh melawati lebih ramai pengundi ketika berkempen berbanding luar bandar yang luas dan tidak padat untuk meraih undi popular.
Sebaliknya jika cadangan pembangkang untuk menyamaratakan jumlah pengundi bagi setiap Parlimen, kesannya tidak realistik dan tidak adil kepada wakil rakyat mahu pun penduduk kawasan berkenaan. Sebagai contoh jika kawasan Parlimen di Sarawak dipuratakan mengikut 60,000 pengundi, maka berkurangan daripada 31 kerusi kini kepada 18 kerusi sahaja (PRU-13: 1,083,972 pengundi).

Bayangkan seseorang Ahli Parlimen terpaksa menjaga satu kawasan yang sama luas atau lebih luas daripada sesebuah negeri di Semenanjung . Keadaan ini tidak adil bagi Ahli Parlimen berkenaan mahu pun rakyat di kawasan itu, di dalam mana-mana pun sistem yang ada.

PENGGUNAAN DAKWAT KEKAL:
Elak Bahaya Kanser & Penyakit Buah Pinggang
Antara perkara yang menjadi serangan utama pembangkang adalah penggunaan dakwat kekal yang pernah menjadi desakan mereka dahulu terhadap SPR. BN ingin menegaskan sokongan penuh kepada nasihat profesional pakar-pakar di Kementerian Kesihatan dan keputusan SPR untuk mengutamakan dan melindungi pengundi daripada bahaya kanser dan penyakit buah pinggang akibat kandungan bahan silver nitrat yang tinggi.
Dakwat kekal yang digunakan oleh SPR mengandungi 1% silver nitrat setelah menerima pakai nasihat pakar-pakar dari Kementerian Kesihatan. Kadar itu memadai untuk membolehkan dakwat itu kekal 30-70% di jari pengundi selama 10 jam. Untuk kekal lebih lama, kadar sodium nitrat perlu ditambah, tetapi risiko pengundi mendapat kanser akan lebih tinggi.
Bagaimanapun baru-baru ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata SPR bersikap terbuka dan akan meminta Kementerian Kesihatan untuk menilai semula sama ada kandungan kimia dalam dakwat kekal iaitu 'silver nitrat' sebanyak satu peratus dapat ditambah agar lebih tahan lama.
Penggunaan dakwat kekal telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dan termaktub dalam undang-undang pilihan raya.

Malah, kaedah asas, pemotongan nama pengundi yang sudah datang mengundi oleh kaunter semakan SPR di pusat mengundi, pemotongan nama pengundi oleh petugas SPR (senarai bercetak dan senarai dalam komputer). Demikian juga pemotongan nama pengundi secara serentak oleh ejen calon-calon bertanding daripada senarai di tangan masing-masing. Kaedah rapi ini sudah memadai untuk mengelakkan penipuan atau mengundi lebih daripada sekali.
Tidak mungkin seorang pengundi dapat mengundi lagi jika dia datang kali kedua kerana namanya sudah dipotong oleh SPR dan wakil-wakil calon di dalam bilik mengundi. Kad pengenalan MyKad pula menjadi semakan utama ketika pengundi hadir sebelum menerima kertas undi.

KHABAR ANGIN GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK:
Hanya Hasutan Supaya Rakyat Meragui SPR
Pembangkang juga menipu rakyat dengan mengedar gambar dan visual palsu bagi menuduh SPR dan menghasut orang ramai dengan dakwaan berlaku gangguan bekalan elektrik ketika pengiraan undi, menuduh Pejabat Perdana Menteri membawa masuk 100,000 orang asing sebagi pengundi, polis mengiringi pengundi hantu dari luar negara, beg kertas undi dibuang dan konon pegawai SPR meminta ejen calon menandatangani Borang 14 ketika pengiraan undi masih berjalan.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad berkata, tiada kejadian seperti itu berlaku kerana beliau mengesahkan perkara itu dengan semua pengurus pilihan raya setiap negeri. Pengurus-pengurus pilihan raya di semua negeri melaporkan tiada insiden seperti didakwa.
Malah, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor pula menjelaskan apa yang berlaku hanya khabar angin berhubung gangguan bekalan elektrik semasa proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. Polis di seluruh negara memantau proses dari awal mengundi sehingga keputusan diumumkan.

TUDUHAN WUJUD PENGUNDI HANTU:
Satu Lagi Cubaan Hasutan Jahat
Pembangkang juga terus menghasut rakyat konon wujud pengundi hantu. Kemasukan pekerja asing menerusi lapangan terbang adalah perkara biasa apabila ada permintaan, namun kehadiran mereka dieksploitasi untuk mengelirukan rakyat. Kemasukan pekerja asing yang sah di negara ini memang biasa diterbangkan secara berkumpulan oleh ejen pekerja asing. Hal ini bukan perkara baru baik di Semenanjung mahu pun bagi masyarakat Sabah atau Sarawak.
Pembangkang menuduh Pejabat Perdana Menteri membawa masuk 100,000 warga asing sebagai pengundi hantu. Hitungan biasa pun tidak munasabah sekali pun diangkut dengan pesawat Boeing 747 yang mampu membawa 400 penumpang.

Senarai penerbangan yang dihebahkan di internet juga hanya serkap jarang dan palsu. Hal ini sudah dijelaskan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, tiada kemasukan 'pengundi hantu' warga asing dari Bangladesh dan Filipina melalui beberapa penerbangan seperti didakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hasil semakan polis, mendapati syarikat penerbangan seperti AirAsia menyediakan penerbangan tambahan atas permintaan orang ramai dan ini adalah amalan biasa seperti yang berlaku setiap kali musim perayaan.

Hanya warganegara Malaysia yang memegang MyKad yang berdaftar sahaja berhak mengundi. Pemegang MyKid belum layak mengundi, manakala warga asing yang memegang kad pengenalan pemastautin sementara dikenali sebagai MyKas tiada hak sebagai warga negara, termasuk tiada hak mengundi. Manakala gambar kad pengenalan yang bertaburan seperti dipaparkan dalam gambar di internet sebenarnya mempunyai kaitan dengan satu kes jenayah yang di Kedah pada 2011, bukan menjelang atau semasa PRU-13.

Tuduhan beg kertas undi dibuang juga tidak berasas kerana semua urusan beg dan peti undi sentiasa diawasi oleh setiap wakil calon yang bertanding. Manakala tuduhan pegawai SPR meminta ejen calon menandatangani Borang 14 ketika proses mengira undi sedang berjalan tidak pernah dibuktikan berlaku.
Menghormati Mandat Rakyat

Oleh itu, Barisan Nasional hari ini mengajak rakyat beramai-ramai menyatakan ketegasan supaya pembangkang menerima dan menghormati proses demokrasi bagi memilih kerajaan memerintah yang telah ditetapkan menerusi pilihan raya seperti termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Cukup-cukuplah berpolitik, rakyat mahukan pemimpin menumpukan kepada usaha memajukan negara. Janganlah diheret pelbagai pihak untuk memenuhi nafsu politik mereka untuk memerintah negara ini. Semua pihak, termasuk pembangkang berpeluang menawarkan diri bertanding lagi pada pilihan raya akan datang.
Rakyat sudah memilih, tibalah masa wakil rakyat yang menang bekerja. Parti yang memenangi majoriti kerusi di Parlimen mahu pun di DUN pula hendaklah melaksanakan tugas mengurus tadbir negara dan negeri masing-masing.


Datuk Ahmad Maslan
Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

KABINET MALAYSIA 2013


'KHIDMAT TERBAIK UNTUK RAKYAT'


146,500 perwakilan bakal pilih pucuk pimpinan UMNO baharu



PUTRAJAYA 16 Mei - Sebanyak 146,500 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara akan memilih pucuk pimpinan UMNO yang baharu akhir tahun ini, pertama kali selepas pindaan Perlembagaan dilakukan parti tersebut.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebelum ini pucuk pimpinan parti ditentukan oleh 2,500 perwakilan.
Katanya, pemilihan kali ini akan menjadi lebih demokratik apabila pemilihan pemimpin tidak terletak di tangan hanya sekumpulan perwakilan.
"Lantai demokrasi UMNO akan terbuka dengan lebih meluas apabila tiada lagi fasal dalam Perlembagaan yang selama ini tidak memihak dan tidak memberikan akses kepada golongan tertentu untuk terlibat secara langsung dalam pemilihan parti.
"Dahulu kita hanya memperuntukkan 2,500 perwakilan untuk menentukan pucuk kepimpinan parti, namun kali ini ia ditambah menjadi 146,500 yang mana pemilihan bermula di peringkat cawangan terlebih dahulu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Perhimpunan Agung Khas UMNO Oktober 2009 meluluskan pindaan Perlembagaan iaitu 146,500 perwakilan bakal menentukan kepemimpinan UMNO selain menghapuskan sistem kuota, mengadakan persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak dan juga menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.
Pindaan Perlembagaan juga meluluskan untuk menjadikan yuran keahlian sebagai yuran seumur hidup, memberi kuasa kepada Pemuda, Wanita dan Puteri untuk meluluskan keahlian baharu dan mengiktiraf sumbangan Setiausaha Bahagian.
Menurut Ahmad, pindaan tersebut adalah sebahagian daripada proses transformasi parti bagi membolehkan UMNO lebih demokratik, telus dan inklusif, namun, kaedah pemilihan serta pengundian, masih dalam proses penambahbaikan.
"Kita merasakan mengembalikan proses pemilihan kepemimpinan di peringkat bahagian adalah lebih rasional dan mampu dilaksanakan secara tersusun.
"Kita akan memulakan setapak demi setapak dan melihat sejauh mana ia mendatangkan impak dan kesan kepada wajah pemilihan UMNO yang lebih terbuka," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai mesyuarat dan pemilihan di peringkat cawangan yang dijangka dibuat dalam masa terdekat, Ahmad berkata, semua pihak perlu mengambil iktibar dalam apa yang terjadi semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Beliau berkata, UMNO tidak mahu berlakunya sebarang perpecahan di peringkat cawangan, sehubungan itu pemilihan dan mesyuarat perlu dibuat secara sederhana tanpa melibatkan persaingan yang tidak sihat.
"Seboleh-bolehnya elakkan daripada berlakunya pertandingan tidak sihat, ambil pendekatan untuk berbincang dengan elok dan berkompromi dengan ahli masing-masing bagi menentukan siapa yang layak mengisi jawatan yang ada.
"Kita tidak mahu lagi berlakunya perpecahan dalam kalangan ahli UMNO, apa yang penting adalah parti kembali memenangi hati rakyat sekali gus dapat menguatkan jentera bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang," katanya.
Beliau juga optimis pemilihan UMNO akan berjalan lancar dan tidak berlaku kekecohan seperti apa yang melanda parti-parti pakatan pembangkang.

MAJLIS ANGKAT SUMPAH MAJLIS ISTIADAT ANGKAT SUMPAH DEPAN SPB YDP AGONG














Senarai anggota Kabinet 2013 yang diumumkan PM




KUALA LUMPUR 15 Mei - Berikut senarai penuh barisan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbar khas di Putrajaya petang ini.

PERDANA MENTERI - Datuk Seri Najib Tun Razak
TIMBALAN PERDANA MENTERI - Tan Sri Muhyiddin Yassin

MENTERI-MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI:
1. Datuk Seri Jamil Khir Baharom
2. Datuk Seri Abdul Wahid Omar (Senator)
3. Datuk Seri Idris Jala (Senator)
4. Tan Sri Joseph Kurup
5. Datuk Seri Shahidan Kassim
6. Nancy Shukri
7. Joseph Entulu Anak Belaun
8. Datuk Paul Low Seng Kwan (Senator)

TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI:

1. Datuk Razali Ibrahim
2. P. Waytha Moorthy (Senator)

MENTERI KEWANGAN:
1. Datuk Seri Najib Tun Razak
2. Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

TIMBALAN MENTERI KEWANGAN - Datuk Ahmad Maslan

MENTERI PELAJARAN DAN PENGAJIAN TINGGI:
1. Tan Sri Muhyiddin Yassin
2. Datuk Seri Idris Jusoh

TIMBALAN MENTERI PELAJARAN DAN PENGAJIAN TINGGI:
1. Datuk Mary Yap Kain Ching
2. P. Kamalanathan

MENTERI PERTAHANAN - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN - Datuk Abdul Rahim Bakri

MENTERI PENGANGKUTAN - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (memangku)
TIMBALAN MENTERI PENGANGKUTAN - Datuk Ab. Aziz Kaprawi

MENTERI DALAM NEGERI - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI - Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

MENTERI KERJA RAYA - Datuk Fadillah Yusof
TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA - Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI - Datuk Seri Mustapa Mohamed
TIMBALAN MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI - Hamim Samuri

MENTERI LUAR - Datuk Seri Anifah Aman
TIMBALAN MENTERI LUAR - Datuk Hamzah Zainuddin

MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN - Datuk Hasan Malek
TIMBALAN MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN - Datuk Ahmad Bashah 
Md. Hanipah (Senator)

MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA - Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
TIMBALAN MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA - Datuk Jailani Johari

MENTERI SUMBER MANUSIA - Datuk Richard Riot Anak Jaem
TIMBALAN MENTERI SUMBER MANUSIA - Datuk Ismail Abd. Muttalib

MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH - Datuk Seri Shafie Apdal
TIMBALAN MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH - Datuk Alexander Nanta Linggi

MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN - Datuk Abdul Rahman Dahlan
TIMBALAN MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN - Datuk Halimah Mohd Saddique

MENTERI BELIA DAN SUKAN - Khairy Jamaluddin Abu Bakar
TIMBALAN MENTERI BELIA DAN SUKAN - Datuk M. Saravanan

MENTERI KESIHATAN - Datuk Seri Dr. S.Subramaniam
TIMBALAN MENTERI KESIHATAN - Datuk Seri Hilmi Yahaya

MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN - Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
TIMBALAN MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN - Datuk Dr. J.Loga Bala Mohan (Senator)

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI - Datuk Seri Douglas Uggah Embas
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI - Datuk Noriah Kasnon

MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR - Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili
TIMBALAN MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR - Datuk Seri Mahdzir Khalid

MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
TIMBALAN MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI - Datuk Tajuddin Abdul Rahman

MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN - Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
TIMBALAN MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN - Datuk Joseph Salang Anak Gandum

MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI - Datuk Dr. Ewon Ebin
TIMBALAN MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI - Datuk Dr. Abu Bakar Mohd. Diah

MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR - Datuk Seri G.Palanivel
TIMBALAN MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR - Datuk Dr. James Dawos Mamit

MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT - Datuk Rohani Abdul Karim
TIMBALAN MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT - Datuk Azizah Mohd. Dun

Usahawan wanita disaran pasar produk dalam talian


PONTIAN 14 Mei - Golongan usahawan wanita tempatan disaran memohon dan menggunakan geran yang disediakan di bawah program Get Malaysia Business Online (GMBO) bagi melonjakkan perniagaan dalam talian.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, GMBO merupakan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2013 bagi manfaat 50,000 usahawan mikro di seluruh negara dengan setiap usahawan menerima sebanyak RM1,000 bagi membantu mereka memasarkan perniagaan secara dalam talian.
"Ini merupakan salah satu daripada objektif kewujudan Pusat Jalur Lebar bukan sahaja untuk merapatkan jurang digital, tetapi juga membangunkan ekonomi penduduk setempat," katanya dalam program Jom Celik Minda Merentasi Dunia Maya di Pusat Jalur Lebar 1Malaysia di Kampung Permatang Sepam, Benut dekat sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Pemangku Ketua Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Selatan, Roszeta Kassim.
Ahmad berkata, kini terdapat ramai usahawan wanita yang melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti membuat makanan ringan, jahitan, ternakan ayam kampung dan inap desa.
"Aktiviti ekonomi tambahan seperti itu sebenarnya boleh dipasarkan secara dalam talian kerana cepat dan mudah untuk tersebar secara meluas melalui kemudahan internet," katanya.
Justeru, beliau menyeru usahawan wanita agar dapat memanfaatkan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk merebut pasaran yang lebih terbuka bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara.

SPR digesa saman pihak fitnah PRU-13


KUALA LUMPUR 13 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menyaman mana-mana pihak terutama pemimpin pembangkang yang menyebar pelbagai fitnah terhadap badan itu dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, fitnah itu termasuk menuduh berlakunya penipuan kiraan undi ketika gangguan bekalan elektrik, beg kertas undi dibuang dan kononnya pegawai SPR meminta ejen calon menandatangani Borang 14 ketika pengiraan undi berjalan.
Menurutnya, semua tuduhan itu ternyata palsu dan adalah wajar SPR menyaman pihak yang menyebar fitnah berkenaan.
"Tidak ada salahnya SPR menyaman pihak-pihak ini kerana kenyataan mereka banyak disiarkan dalam media khususnya media pembangkang. Jangan biarkan fitnah ini terus bermaharajalela," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi penerangan khas bersama ketua-ketua bahagian serta barisan pemimpin sayap UMNO mengenai fitnah pembangkang dalam pilihan raya umum lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Terdahulu, mereka turut menghadiri sesi penerangan secara tertutup bersama Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof bagi mendapat gambaran jelas berhubung perjalanan pilihan raya umum lalu.
Sementara itu, Ahmad mencabar pemimpin pembangkang memanggil SPR supaya memberi penjelasan berhubung segala tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap badan tersebut.
"Kalau berani, panggil SPR dan buktikan tuduhan itu. Saya cabar pembangkang buat perkara ini dahulu," tegasnya.
Beliau turut mencabar pembangkang tidak mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat jika berterusan menuduh pilihan raya umum lalu sebagai tidak bersih.
"Tetapi mereka ini bersikap dwistandard kerana di Pulau Pinang dan Kelantan, mereka boleh pula angkat sumpah. Mereka ini pembohong dan kita perlu lawan," katanya.
Mengenai pembangkang yang berterusan mengadakan demonstrasi bantahan terhadap proses pilihan raya umum, Ahmad berkata, polis perlu bertegas menangani perkara tersebut.
Dalam masa sama, jelasnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertindak agresif dalam memberi penerangan khususnya kepada generasi muda mengenai fitnah pembangkang itu.

Pembangkang hanya menang undi popular di 5 negeri - Ahmad

AHMAD Maslan menunjukkan statistik jumlah kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi pembangkang pada majlis Perjumpaan Khas Penerangan di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 13 Mei - Pakatan pembangkang hanya mendapat kelebihan undi popular di lima negeri iaitu di Selangor, Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, persepsi kini disebarkan oleh pembangkang iaitu kononnya melalui undi popular mereka telah menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
"Undi popular mereka cuma 49.9 peratus, undi popular Barisan Nasional (BN) 47 peratus, tiga peratus lagi itu undi rosak dan undi calon Bebas.
"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa BN mendapat undi popular di sembilan negeri melebihi pembangkang yang mendapat undi popular di lima buah negeri sahaja," tegas Ahmad Maslan.
Beliau ditemui dalam sidang akhbar selepas Majlis Penerangan berkaitan isu Pasca-PRU-13 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, daripada lima negeri pembangkang dapat undi popular, jumlah tertinggi datangnya daripada Selangor iaitu satu juta berbanding BN sebanyak 600,000 undi popular.
"Kalau kita lihat perbezaan undi popular ini hanya 400,000 iaitu di Selangor sahaja. Jadi jangan kata seluruh negara menolak BN," kata beliau.
Justeru katanya, dengan hanya kelebihan tiga peratus undi popular pembangkang tidak seharusnya mengatakan mereka layak menjadi kerajaan.
"Itu adalah amat tidak benar kerana kita mengamalkan sistem first past the post. Pihak yang mencapai keputusan maka dialah yang mendapat jawatan itu," jelas Ahmad Maslan. - UTUSAN ONLINE

SPR didesak saman, jangan biar fitnah bermaharajalela


KUALA LUMPUR 13 Mei - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyaman pihak-pihak yang menyebarkan fitnah berkaitan suruhanjaya tersebut.
Beliau berkata, tindakan itu perlu untuk membersihkan nama SPR, sekali gus menghentikan fitnah yang disebarkan pembangkang mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
"Apa yang dilakukan pihak ini perlu kita tangani. Saya syor SPR saman pihak-pihak yang buat fitnah. Hanya dengan cara ini dapat bersihkan nama SPR.
"Jangan biarkan fitnah bermaharajalela dan rakyat berfikir kerajaan yang ada tidak sah sedangkan kerajaan dipilih secara sah oleh rakyat," tegas Ahmad Maslan.
Beliau ditemui selepas Majlis Penerangan Pasca-PRU-13 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof yang menjawab segala tohmahan terhadap SPR berkaitan PRU-13 yang lalu.
Antara yang diterangkan termasuk isu pengundi hantu, blackout, dakwat kekal dan undi popular.
Ahmad Maslan berkata, fitnah yang disebarkan pihak pembangkang boleh menjejaskan nama baik negara.
"Bukti tohmahan dan fitnah mudah ditemui kerana ia dilaporkan dalam surat khabar rasmi pihak tersebut," kata Ahmad Maslan.
Beliau turut mencabar agar pembangkang memanggil SPR untuk memberi penerangan secara langsung mengenai isu yang ditimbulkan mereka.
"Tak ada sebab SPR tidak terima pelawaan, kalau UMNO minta penjelasan SPR boleh datang, tak mungkin SPR tak pergi jika dipelawa oleh Pakatan Rakyat. Ini bukan cadangan ini cabaran," kata Ahmad Maslan.

Ulang tahun ke-67 UMNO dirai penuh kesyukuran


KUALA LUMPUR 11 Mei - Seminggu selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan ekoran pilihan raya umum Ahad lepas, sambutan ulang tahun ke-67 UMNO diadakan dengan penuh kesyukuran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
Majlis itu dimulakan dengan solat Maghrib di Surau Ar-Rahman, PWTC diikuti bacaan surah Yasin, tahlil, doa kesyukuran serta solat Isyak.
Majlis bertemakan '67 Tahun Menepati Janji' itu dihadiri para pemimpin tertinggi UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berbaju Melayu biru, diiringi anak beliau Norashman Razak.
Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.
Majlis itu turut dihadiri kira-kira 2,500 orang termasuk anggota UMNO.
Selepas itu, upacara menaikkan bendera UMNO 'Sang Saka Bangsa' serta nyanyian lagu UMNO 'Bersatu Bersetia Berkhidmat' disempurnakan di Dewan Merdeka PWTC sebelum Najib menyampaikan amanatnya. - BERNAMA

Percubaan DAP guna sentimen perkauman tidak berjaya


KUALA LUMPUR 7 Mei - Percubaan DAP untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga ke tahap maksimum tidak berjaya walaupun sentimen perkauman menjadi bahan kempen mereka.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, DAP melalui Red Bean Army yang bertindak sebagai jenteranya telah melemparkan segala tohmahan dan fitnah terhadap pemimpin BN.
Jelasnya, usaha itu bagi membangkitkan kebencian pengundi Cina terhadap BN walaupun tuduhan yang dilemparkan tersebut, sama sekali tidak benar.
"DAP telah berjaya meningkatkan sokongan pengundi Cina pada 2008 dan pada Pilihan Raya Umum Ke-13, mereka sekali lagi mencuba namun tidak berjaya menumbangkan BN.
"Kegagalan inilah yang menyebabkan mereka tidak puas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun hakikatnya satu undi memberi kesan kepada sistem demokrasi negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kewujudan pasukan tentera siber DAP yang dikenali sebagai Red Bean Army yang dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama berlakunya tsunami politik pengundi Cina sehingga berlaku trend pengundian berasaskan polarisasi kaum.
Kumpulan seramai 200 orang yang diberi latihan secukupnya oleh DAP serta dibayar gaji tetap sebanyak RM3,000 sebulan sejak enam tahun lalu itu berperanan penting dalam menyebarkan dakyah-dakyah perkauman kepada pengundi bagi menolak BN.
Tambah Ahmad, BN juga seperti DAP mempunyai pasukan tentera siber namun tidaklah sampai mencetuskan sentimen perkauman seperti mereka.
"Apa yang penting selepas ini kita perlu melakukan 'brainstorming' dan kaedah makmal secara terperinci mengikut kawasan dan negeri, selain faktor pengundi Cina yang berpihak kepada DAP, kita perlu kenal pasti lain-lain punca kekalahan," katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, DAP sanggup melakukan apa sahaja termasuk membangkitkan sentimen perkauman dalam kalangan pengundi Cina bagi mendapatkan kuasa.
"Saya tidak hairan apabila perkara ini berlaku, memang sudah dijangka mereka akan guna apa jua medium untuk menyebarkan sentimen perkauman seterusnya mencetuskan rasa benci dalam kalangan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN).
"Semuanya dilakukan demi mengejar kuasa. Jika dibiarkan berterusan kita bimbang akan memudaratkan negara dalam jangka masa panjang sekali gus menghalang usaha perpaduan yang dilaksanakan BN sejak dahulu lagi," katanya.
Tambah beliau, MCA selaku parti komponen termasuk BN perlu mengatur strategi bagi membendung amalan mengundi berdasarkan kaum.
"Kajian perlu dilakukan bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang dalam pilihan raya umum seterusnya," kata beliau.

3 pemimpin BN tekad beri khidmat lebih baik




PONTIAN 7 Mei - Tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) yang berjaya mempertahankan kerusi masing-masing di kawasan ini berjanji memberi perkhidmatan lebih baik kepada pengundi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Datuk Ahmad Maslan yang menang di Parlimen Pontian berkata, beliau bertekad akan terus berusaha membangunkan kawasan berkenaan dengan pelbagai agenda pembangunan yang dijanji termasuk di kawasan dengan kekurangan sokongan pengundi.
"Saya ucapkan terima kasih kepada para pengundi di kawasan Parlimen Pontian yang terus memberikan sokongan kuat kepada BN walaupun PKR (Parti Keadilan Rakyat) cuba menabur janji dengan pelbagai tawaran 'percumanya'," katanya semasa ditemui selepas diumumkan sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 semalam.
Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO menewaskan calon PKR, Haniff @ Ghazali Hosman dengan majoriti 13,727 undi apabila memperoleh 27,804 berbanding 14,077 yang diraih pencabarnya.
Sementara itu, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut melahirkan penghargaan terhadap sokongan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), jawatankuasa masjid dan surau serta persatuan belia dan orang ramai.
Beliau juga berharap dapat memberikan peranan lebih baik kepada generasi muda yang turut membantu kemenangan calon-calon BN agar mereka merasakan lebih dihargai serta diperlukan negara.
"Sudah tentu tumpuan akan diberikan kepada aku janji manifesto BN yang dinyatakan semasa kempen termasuk memberi tumpuan kepada pembangunan di kawasan luar bandar yang masih memerlukan," katanya yang menang dengan majoriti 6,572 undi menewaskan calon Pas, Sarono Ponoh.
Datuk Tee Siew Kiong yang dipilih semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang bagi penggal ketiga turut bersedia memberi perkhidmatan lebih baik dengan meneruskan pembangunan di kawasan berkenaan seperti diingini penduduk.
Kejayaan memenangi kerusi tersebut merupakan kerja berpasukan parti komponen BN yang bertungkus-lumus sepanjang berkempen, katanya yang mengalahkan calon Pas, Ungku Mohd. Noor Ungku Mahmood dengan majoriti 3,412 undi.

Jentera perlu dekati semua pengundi



PONTIAN 1 Mei - Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) perlu mengenal pasti semua pengundi supaya tidak ada seorang pun pemilih terkecuali daripada menunaikan tanggungjawab tersebut.
Ketua Penerangan dan Publisitinya, Datuk Ahmad Maslan berkata, antara golongan yang perlu didekati adalah pengundi atas pagar supaya mereka kembali memilih BN pada 5 Mei ini.
"Semua undi penting, tidak kira sama ada mereka orang Melayu, Cina, India, peneroka, orang bujang, lelaki, wanita, tua, muda, atas pagar, Orang Asli, Sabah serta Sarawak. Begitu juga undi golongan veteran penting bagi memastikan BN memperoleh majoriti dua pertiga sekali gus dapat mengekalkan pemerintahan yang ada.
"Tiga hari menjelang hari pengundian, jentera pilihan raya BN di setiap peringkat perlu menemui seberapa ramai pengundi di kawasan masing-masing dengan berjumpa secara terus dengan mereka bagi mengekalkan momentum," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, di sini hari ini.
Sempena program itu, beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian turut merasmikan bangunan Dewan Raya Haji Sukarman berharga RM220,000.
Menurut Ahmad, calon-calon baharu BN berjaya menemui sebahagian besar pengundi bagi menyanggah serta memperbetulkan segala maklumat supaya mereka tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang seperti isu tol, harga minyak, peluang pekerjaan dan memberi penerangan mengenai manifesto BN.
Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan serangan pembangkang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertujuan memburuk-burukkan BN dengan membangkitkan isu-isu lapuk seperti pengundi hantu, pemindahan tempat mengundi dan nama dibuang daripada daftar pemilih.
"Mereka mahu meraih simpati rakyat dengan pelbagai dakwaan. Mereka sepatutnya memberi peluang kepada SPR menjalankan tugas dengan baik dan lancar dan tidak menimbulkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan kelancaran perjalanan pilihan raya umum kali ini kerana akhirnya rakyat yang menjadi penentu," katanya.

Hudud sudah jadi modal Pas sejak 5 PRU


JOHOR BAHRU 26 April - Pas sentiasa menjadikan isu hukum hudud sebagai 'barang dagangan' semasa kempen sejak lima pilihan raya umum lalu untuk menarik sokongan orang ramai terutamanya pengundi Islam.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, hukum hudud sudah dibangkitkan Pas sejak 1989 sebagai modal Pilihan Raya Umum Kelapan pada 1990.
"Selepas itu hukum hudud ini terus dijadikan modal pilihan raya umum 1995, 1999, 2004, 2008 dan 2013. Kita Barisan Nasional (BN) amalkan konsep wasatiyyah iaitu konsep kesederhanaan.
"Jelas pakatan pembangkang ini bukan berpakat tetapi pakatan perpecahan kerana mereka tidur satu bantal tapi mimpi lain-lain," katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditemui selepas bertemu para peniaga di Jalan Wong Ah Fook, di sini hari ini.
Beliau yang mempertahankan kerusi Parlimen Pontian turut diiringi calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Rinting, Chang Mei Kee.
Baru-baru ini, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, Pas tetap akan melaksanakan hukum hudud jika memenangi pilihan raya umum akan datang namun tetap ditentang Pengerusi DAP, Kar-pal Singh.
Diminta mengulas dakwaan pemimpin DAP bahawa kerajaan sengaja cuba menyekat lebih 100,000 rakyat negara ini yang bekerja di Singapura pulang mengundi, Ahmad menyifatkannya sebagai tuduhan liar dan tidak berasas.
"Sesiapa sahaja boleh datang dan balik mengundi termasuk rakyat kita di luar negara. Mengundi adalah hak kita sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat tidak terpengaruh dengan pelbagai slogan seperti Ubah yang dibawa pembangkang kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah melakukan banyak perubahan menerusi Dasar Transformasi Nasional.

Perkauman DAP amat dibimbangi




PONTIAN 6 Mei - Politik perkauman melampau yang dimainkan oleh DAP bagi menarik sokongan pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dikhuatiri akan menimbulkan perasaan prasangka dan curiga antara kaum di negara ini.
Ketua
Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan (gambar) menyifatkan penolakan besar-besaran pengundi Cina terhadap calon MCA dan Gerakan bukan sahaja berlaku di bandar besar, malah terjadi di pekan kecil.
Menurutnya, keadaan seperti itu tidak harmoni bagi sebuah negara majmuk seperti Malaysia apabila melibatkan jentera pentadbiran di peringkat Pusat dan negeri apabila tiada wakil daripada kaum tersebut.
Beliau berkata, polarisasi pengundian yang diterjemahkan dalam keputusan PRU-13 amat membimbangkan kerana pengundi tidak melihat apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). selama ini.

PRU-13: BN nafi SMS arah ambil wang saguhati


KUALA LUMPUR 4 Mei - Barisan Nasional menafikan mengeluarkan arahan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) supaya pengundi mengambil wang sagu hati berjumlah RM300 di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN masing-masing.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, penyebaran SMS itu bertujuan mengelirukan pengundi-pengundi menjelang hari pengundian esok.
Katanya, tindakan itu juga adalah kerja-kerja tidak bertanggungjawab musuh BN dengan niat memburuk-burukkan parti tersebut.
"Jelas tindakan itu menunjukkan mereka bankrap idea dan strategi untuk melemahkan BN," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Orang ramai hari ini dikejutkan dengan penyebaran SMS itu berserta SMS lain yang menjurus kepada tujuan memburuk-burukkan BN sebagai strategi terakhir menjelang hari mengundi esok. - UTUSAN ONLINE

Lipatgandakan usaha, kempen - Ahmad Maslan



MUAR 2 Mei - Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) perlu terus melipatgandakan usaha dalam masa kurang 48 jam tempoh berkempen walaupun kemenangan dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 diyakini berada dalam genggaman.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berharap, keadaan itu tidak membuatkan semua petugas berada dalam keadaan selesa sehingga lalai melaksanakan tanggungjawab kerana mereka masih harus bekerja keras bagi memastikan kemenangan besar BN.
"Laporan terkini menunjukkan BN akan menang dua pertiga memberi kesan gembira kepada BN, tetapi petugas parti jangan ambil sambil lewa.
"Tumpuan perlu diberi terutama di tiga negeri yang bakal kita rampas semula iaitu Kelantan, Kedah dan Selangor dan ada sedikit lagi perkara yang perlu kita buat di Pulau Pinang," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama 800 Pesara di Hotel Pelangi, di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi memastikan segala pergerakan jentera di 7,531 Pusat Daerah Mengundi (PDM) seluruh negara berjalan lancar, sebanyak 25 orang ditugaskan memantau semua pusat berkenaan yang berpusat di Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur.
Menurutnya, petugas itu dilengkapkan peralatan komunikasi dan memantau semua perkembangan PDM tersebut 24 jam sehari bagi memastikan sebarang masalah yang timbul dapat diselesai serta-merta.
"Kita dapat maklumat terus daripada PDM ke ibu pejabat UMNO, contohnya berapa banyak ceramah dibuat hari ini serta sama ada wujud sabotaj oleh mereka yang tidak dipilih menjadi calon atau tidak," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyeru pengundi atas pagar bersama kumpulan yang akan mengundi BN kerana tsunami politik yang berlaku pada 2008 sudah terhenti.
Katanya, malapetaka tersebut yang mengubah landskap politik dalam pilihan raya umum lalu berjaya 'disekat' melalui transformasi diperkenal Perdana Menteri termasuk melalui pemberian pelbagai bantuan secara langsung, contohnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).