Sunday, May 19, 2013

3 pemimpin BN tekad beri khidmat lebih baik




PONTIAN 7 Mei - Tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) yang berjaya mempertahankan kerusi masing-masing di kawasan ini berjanji memberi perkhidmatan lebih baik kepada pengundi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Datuk Ahmad Maslan yang menang di Parlimen Pontian berkata, beliau bertekad akan terus berusaha membangunkan kawasan berkenaan dengan pelbagai agenda pembangunan yang dijanji termasuk di kawasan dengan kekurangan sokongan pengundi.
"Saya ucapkan terima kasih kepada para pengundi di kawasan Parlimen Pontian yang terus memberikan sokongan kuat kepada BN walaupun PKR (Parti Keadilan Rakyat) cuba menabur janji dengan pelbagai tawaran 'percumanya'," katanya semasa ditemui selepas diumumkan sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 semalam.
Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO menewaskan calon PKR, Haniff @ Ghazali Hosman dengan majoriti 13,727 undi apabila memperoleh 27,804 berbanding 14,077 yang diraih pencabarnya.
Sementara itu, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut melahirkan penghargaan terhadap sokongan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), jawatankuasa masjid dan surau serta persatuan belia dan orang ramai.
Beliau juga berharap dapat memberikan peranan lebih baik kepada generasi muda yang turut membantu kemenangan calon-calon BN agar mereka merasakan lebih dihargai serta diperlukan negara.
"Sudah tentu tumpuan akan diberikan kepada aku janji manifesto BN yang dinyatakan semasa kempen termasuk memberi tumpuan kepada pembangunan di kawasan luar bandar yang masih memerlukan," katanya yang menang dengan majoriti 6,572 undi menewaskan calon Pas, Sarono Ponoh.
Datuk Tee Siew Kiong yang dipilih semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang bagi penggal ketiga turut bersedia memberi perkhidmatan lebih baik dengan meneruskan pembangunan di kawasan berkenaan seperti diingini penduduk.
Kejayaan memenangi kerusi tersebut merupakan kerja berpasukan parti komponen BN yang bertungkus-lumus sepanjang berkempen, katanya yang mengalahkan calon Pas, Ungku Mohd. Noor Ungku Mahmood dengan majoriti 3,412 undi.

1 comment:

  1. Salam Tahniah Datuk , semoga berada dalam sehat bersama keluarga , saya mengharapkan YB Datuk bangkitkan semula projek pembinaan Hospital Baru Pontian yang gagal di laksanakan di waktu YB Ong Kah Teng dulu . Mentelah Datuk sebagai Timb.Menteri Kewangan kini . Hadiah kan kepada pengundi orang Melayu di pendalaman agar tidak bertambah jauh untuk ke JB atau ke BP bagi mendapat rawatan lanjut , Sekian Terima kasih Datuk , maaf jika menganggu , wassalam .

    ReplyDelete