Sunday, May 19, 2013

3 pemimpin Pontian cipta sejarah


PONTIAN 17 Mei - Pelantikan ketiga-tiga pemimpin dari Pontian menyandang jawatan timbalan menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bukan sahaja mencatatkan satu sejarah baharu malah dianggap penghormatan tertinggi pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) kepada pemimpin dari daerah ini.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pontian, Muhamaddan Ahmad berkata, pelantikan Datuk Ahmad Maslan sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Hasni Mohammad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya dan Pembangunan Luar Bandar serta Datuk Tee Siew Kiong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri amat membanggakan seluruh rakyat di daerah ini.
Beliau berkata, pelantikan ketiga-tiga wakil rakyat itu merupakan hadiah paling bermakna kepada para pengundi di kawasan Parlimen Pontian.
"Ia merupakan satu sejarah baharu kepada Parlimen Pontian, UMNO dan BN. BN Pontian ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas kepercayaan yang diberikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Maslan yang merupakan Ahli Parlimen Pontian sebelum ini adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan UMNO, Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut manakala Siew Kiong ialah ADUN Pulai Sebatang dan Pengerusi MCA Bahagian Pontian.
Muhamaddan berkata, BN Pontian yakin dengan kemampuan 'trio' Parlimen Pontian bagi membantu menjayakan transformasi negara sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri.
"Penduduk Pontian amat bersyukur dan gembira dengan pelantikan ketiga-tiga pemimpin ini dan berharap mereka dapat membantu membangunkan lagi daerah ini," katanya.

1 comment:

  1. Syabas orang Pontian di antara rakyat Negeri Johor yan paling taat kebawah pemerintahan Tuanku Sultan Johor, tak kira keturunan bangsa dan agama, termasuk orang Arab!

    ReplyDelete