Sunday, May 19, 2013

Hudud sudah jadi modal Pas sejak 5 PRU


JOHOR BAHRU 26 April - Pas sentiasa menjadikan isu hukum hudud sebagai 'barang dagangan' semasa kempen sejak lima pilihan raya umum lalu untuk menarik sokongan orang ramai terutamanya pengundi Islam.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, hukum hudud sudah dibangkitkan Pas sejak 1989 sebagai modal Pilihan Raya Umum Kelapan pada 1990.
"Selepas itu hukum hudud ini terus dijadikan modal pilihan raya umum 1995, 1999, 2004, 2008 dan 2013. Kita Barisan Nasional (BN) amalkan konsep wasatiyyah iaitu konsep kesederhanaan.
"Jelas pakatan pembangkang ini bukan berpakat tetapi pakatan perpecahan kerana mereka tidur satu bantal tapi mimpi lain-lain," katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditemui selepas bertemu para peniaga di Jalan Wong Ah Fook, di sini hari ini.
Beliau yang mempertahankan kerusi Parlimen Pontian turut diiringi calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Rinting, Chang Mei Kee.
Baru-baru ini, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, Pas tetap akan melaksanakan hukum hudud jika memenangi pilihan raya umum akan datang namun tetap ditentang Pengerusi DAP, Kar-pal Singh.
Diminta mengulas dakwaan pemimpin DAP bahawa kerajaan sengaja cuba menyekat lebih 100,000 rakyat negara ini yang bekerja di Singapura pulang mengundi, Ahmad menyifatkannya sebagai tuduhan liar dan tidak berasas.
"Sesiapa sahaja boleh datang dan balik mengundi termasuk rakyat kita di luar negara. Mengundi adalah hak kita sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat tidak terpengaruh dengan pelbagai slogan seperti Ubah yang dibawa pembangkang kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah melakukan banyak perubahan menerusi Dasar Transformasi Nasional.

No comments:

Post a Comment