Sunday, May 19, 2013

Jentera perlu dekati semua pengundi



PONTIAN 1 Mei - Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) perlu mengenal pasti semua pengundi supaya tidak ada seorang pun pemilih terkecuali daripada menunaikan tanggungjawab tersebut.
Ketua Penerangan dan Publisitinya, Datuk Ahmad Maslan berkata, antara golongan yang perlu didekati adalah pengundi atas pagar supaya mereka kembali memilih BN pada 5 Mei ini.
"Semua undi penting, tidak kira sama ada mereka orang Melayu, Cina, India, peneroka, orang bujang, lelaki, wanita, tua, muda, atas pagar, Orang Asli, Sabah serta Sarawak. Begitu juga undi golongan veteran penting bagi memastikan BN memperoleh majoriti dua pertiga sekali gus dapat mengekalkan pemerintahan yang ada.
"Tiga hari menjelang hari pengundian, jentera pilihan raya BN di setiap peringkat perlu menemui seberapa ramai pengundi di kawasan masing-masing dengan berjumpa secara terus dengan mereka bagi mengekalkan momentum," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, di sini hari ini.
Sempena program itu, beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian turut merasmikan bangunan Dewan Raya Haji Sukarman berharga RM220,000.
Menurut Ahmad, calon-calon baharu BN berjaya menemui sebahagian besar pengundi bagi menyanggah serta memperbetulkan segala maklumat supaya mereka tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang seperti isu tol, harga minyak, peluang pekerjaan dan memberi penerangan mengenai manifesto BN.
Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan serangan pembangkang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertujuan memburuk-burukkan BN dengan membangkitkan isu-isu lapuk seperti pengundi hantu, pemindahan tempat mengundi dan nama dibuang daripada daftar pemilih.
"Mereka mahu meraih simpati rakyat dengan pelbagai dakwaan. Mereka sepatutnya memberi peluang kepada SPR menjalankan tugas dengan baik dan lancar dan tidak menimbulkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan kelancaran perjalanan pilihan raya umum kali ini kerana akhirnya rakyat yang menjadi penentu," katanya.

No comments:

Post a Comment