Sunday, May 19, 2013

Lipatgandakan usaha, kempen - Ahmad Maslan



MUAR 2 Mei - Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) perlu terus melipatgandakan usaha dalam masa kurang 48 jam tempoh berkempen walaupun kemenangan dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 diyakini berada dalam genggaman.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berharap, keadaan itu tidak membuatkan semua petugas berada dalam keadaan selesa sehingga lalai melaksanakan tanggungjawab kerana mereka masih harus bekerja keras bagi memastikan kemenangan besar BN.
"Laporan terkini menunjukkan BN akan menang dua pertiga memberi kesan gembira kepada BN, tetapi petugas parti jangan ambil sambil lewa.
"Tumpuan perlu diberi terutama di tiga negeri yang bakal kita rampas semula iaitu Kelantan, Kedah dan Selangor dan ada sedikit lagi perkara yang perlu kita buat di Pulau Pinang," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama 800 Pesara di Hotel Pelangi, di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi memastikan segala pergerakan jentera di 7,531 Pusat Daerah Mengundi (PDM) seluruh negara berjalan lancar, sebanyak 25 orang ditugaskan memantau semua pusat berkenaan yang berpusat di Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur.
Menurutnya, petugas itu dilengkapkan peralatan komunikasi dan memantau semua perkembangan PDM tersebut 24 jam sehari bagi memastikan sebarang masalah yang timbul dapat diselesai serta-merta.
"Kita dapat maklumat terus daripada PDM ke ibu pejabat UMNO, contohnya berapa banyak ceramah dibuat hari ini serta sama ada wujud sabotaj oleh mereka yang tidak dipilih menjadi calon atau tidak," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyeru pengundi atas pagar bersama kumpulan yang akan mengundi BN kerana tsunami politik yang berlaku pada 2008 sudah terhenti.
Katanya, malapetaka tersebut yang mengubah landskap politik dalam pilihan raya umum lalu berjaya 'disekat' melalui transformasi diperkenal Perdana Menteri termasuk melalui pemberian pelbagai bantuan secara langsung, contohnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

No comments:

Post a Comment