Sunday, May 19, 2013

Pembangkang hanya menang undi popular di 5 negeri - Ahmad

AHMAD Maslan menunjukkan statistik jumlah kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi pembangkang pada majlis Perjumpaan Khas Penerangan di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 13 Mei - Pakatan pembangkang hanya mendapat kelebihan undi popular di lima negeri iaitu di Selangor, Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, persepsi kini disebarkan oleh pembangkang iaitu kononnya melalui undi popular mereka telah menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
"Undi popular mereka cuma 49.9 peratus, undi popular Barisan Nasional (BN) 47 peratus, tiga peratus lagi itu undi rosak dan undi calon Bebas.
"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa BN mendapat undi popular di sembilan negeri melebihi pembangkang yang mendapat undi popular di lima buah negeri sahaja," tegas Ahmad Maslan.
Beliau ditemui dalam sidang akhbar selepas Majlis Penerangan berkaitan isu Pasca-PRU-13 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, daripada lima negeri pembangkang dapat undi popular, jumlah tertinggi datangnya daripada Selangor iaitu satu juta berbanding BN sebanyak 600,000 undi popular.
"Kalau kita lihat perbezaan undi popular ini hanya 400,000 iaitu di Selangor sahaja. Jadi jangan kata seluruh negara menolak BN," kata beliau.
Justeru katanya, dengan hanya kelebihan tiga peratus undi popular pembangkang tidak seharusnya mengatakan mereka layak menjadi kerajaan.
"Itu adalah amat tidak benar kerana kita mengamalkan sistem first past the post. Pihak yang mencapai keputusan maka dialah yang mendapat jawatan itu," jelas Ahmad Maslan. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment