Sunday, May 19, 2013

SPR digesa saman pihak fitnah PRU-13


KUALA LUMPUR 13 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menyaman mana-mana pihak terutama pemimpin pembangkang yang menyebar pelbagai fitnah terhadap badan itu dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, fitnah itu termasuk menuduh berlakunya penipuan kiraan undi ketika gangguan bekalan elektrik, beg kertas undi dibuang dan kononnya pegawai SPR meminta ejen calon menandatangani Borang 14 ketika pengiraan undi berjalan.
Menurutnya, semua tuduhan itu ternyata palsu dan adalah wajar SPR menyaman pihak yang menyebar fitnah berkenaan.
"Tidak ada salahnya SPR menyaman pihak-pihak ini kerana kenyataan mereka banyak disiarkan dalam media khususnya media pembangkang. Jangan biarkan fitnah ini terus bermaharajalela," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi penerangan khas bersama ketua-ketua bahagian serta barisan pemimpin sayap UMNO mengenai fitnah pembangkang dalam pilihan raya umum lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Terdahulu, mereka turut menghadiri sesi penerangan secara tertutup bersama Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof bagi mendapat gambaran jelas berhubung perjalanan pilihan raya umum lalu.
Sementara itu, Ahmad mencabar pemimpin pembangkang memanggil SPR supaya memberi penjelasan berhubung segala tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap badan tersebut.
"Kalau berani, panggil SPR dan buktikan tuduhan itu. Saya cabar pembangkang buat perkara ini dahulu," tegasnya.
Beliau turut mencabar pembangkang tidak mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat jika berterusan menuduh pilihan raya umum lalu sebagai tidak bersih.
"Tetapi mereka ini bersikap dwistandard kerana di Pulau Pinang dan Kelantan, mereka boleh pula angkat sumpah. Mereka ini pembohong dan kita perlu lawan," katanya.
Mengenai pembangkang yang berterusan mengadakan demonstrasi bantahan terhadap proses pilihan raya umum, Ahmad berkata, polis perlu bertegas menangani perkara tersebut.
Dalam masa sama, jelasnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertindak agresif dalam memberi penerangan khususnya kepada generasi muda mengenai fitnah pembangkang itu.

No comments:

Post a Comment