Saturday, June 22, 2013

Beri tips urus kewangan

PONTIAN 20 Jun - Sebut sahaja hutang, pasti ramai yang mengeluh kerana masalah itu membelenggu hampir setiap individu.

Hakikatnya untuk memiliki barangan diingini, tidak semua mampu membelinya secara tunai dan pilihan yang ada adalah dengan cara berhutang.
Namun, jika perkara ini tidak diuruskan dengan baik, masalah yang lebih besar pasti akan menanti peminjam termasuk diisytiharkan bankrap.
Bagi membantu rakyat menyelesaikan masalah tersebut, kerajaan memperkenalkan pelbagai program dan antaranya mewujudkan Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) yang ditubuhkan oleh Bank Negara pada 2005 bagi menyediakan khidmat nasihat, bantuan dan pengurusan aduan kepada orang ramai.
Antara perkhidmatan yang diberikan adalah perbankan, insurans takaful dan pembiayaan yang disediakan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), maklumat mengenai kredit peribadi melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Menurut Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya yang ditemui Utusan Malaysia dalam Program Kesedaran dan Pendidikan Kewangan di Benut di sini baru-baru ini, LINK juga memberikan pendedahan dan kesedaran tentang jenayah kewangan seperti skim cepat kaya dan pelaburan haram.
Beliau berkata, sejak ditubuhkan, LINK menerima lebih 1.4 juta pertanyaan dan aduan daripada orang ramai menerusi pelbagai saluran.
Pada tahun lalu, BNM membantu seramai 409,468 individu dan usahawan manakala pada suku tahun pertama tahun ini pula, seramai 104,668 mendapat manfaat menerusinya.
"Ini menunjukkan LINK berjaya menepati objektif dan matlamat bagi memberikan kesedaran dan pendidikan kewangan kepada orang ramai supaya mereka dapat menguruskannya dengan baik.
"Seterusnya LINK telah melebarkan sayapnya mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan luar bandar menerusi perkhidmatan bergerak atau MobileLINK dengan menggunakan sebuah bas khas," katanya.
Menurut Abu Hassan lagi, seramai 20,000 individu menerima manfaat menerusi perkhidmatan MobileLINK yang dilaksanakan di 72 buah mukim di seluruh negara tersebut.
Antara perkhidmatan yang disediakan MobileLINK adalah memberikan peluang kepada orang ramai membuka akaun, menyimpan dan mengeluarkan wang yang disediakan melalui pelbagai kaunter bank seperti Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN), AgroBank dan Bank Muamalat yang menawarkan pelbagai produk termasuk pembiayaan pelaburan, perniagaan, peribadi mahupun Sijil Simpanan Premium (SSP).
Dalam pada itu, orang ramai yang berkunjung ke program tersebut juga berpeluang mendapat khidmat nasihat dan membuat aduan tentang perbankan, insurans dan takaful bagi keluarga mahupun perniagaan.
"Pegawai dan kakitangan bank juga bersedia memberikan khidmat nasihat kepada pengunjung yang kurang arif mengenai sesuatu institusi kewangan, sekali gus merapatkan jurang perbankan dalam kalangan masyarakat di luar bandar," katanya.
Menurutnya, MobileLINK juga memberikan perkhidmatan kaunseling kepada individu yang menghadapi masalah pengurusan kewangan (hutang) serta mendidik mereka menanganinya.
Peranan tersebut dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), merupakan agensi di bawah BNM yang telah memberi khidmatnya kepada 219,995 individu sejak ditubuhkan pada 2007.
Dalam tempoh tersebut, kata Abu Hassan, sebanyak 89,450 kes telah dibawa kepada Program Pengurusan Hutang (PPH) manakala hingga April lalu, 11,998 individu dirujuk kepada AKPK dengan 5,348 dibawa kepada PPH.
"BNM merasakan perlunya mereka yang menghadapi krisis hutang yang serius diberikan bantuan serta pertolongan supaya mereka dapat keluar daripada masalah yang boleh menjejaskan kehidupan seharian," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ketika merasmikan program tersebut berkata, bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan perbankan, BNM telah memperkenalkan 'Ejen Perbankan' pada 2012.
Menurutnya, Ejen Perbankan merupakan saluran baharu bagi pihak institusi kewangan berlesen menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan melalui ejen pihak ketiga seperti Pos Malaysia, stesen minyak, kedai runcit dan sebagainya.
"Kemudahan yang ditawarkan ialah transaksi penerimaan deposit, pengeluaran dan pemindahan wang, pembayaran bil dan bayaran balik pinjaman tanpa perlu pergi ke bandar bagi membuat urusan.
"Ini amat menepati slogan 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' agar orang ramai mudah untuk membuat urusan walaupun di mana sahaja mereka berada termasuk di kawasan luar bandar," katanya.
Beliau yakin langkah seumpama itu dapat menerapkan elemen 'celik' kewangan kepada orang ramai supaya tidak menyimpan wang di bawah bantal, tabung buluh dan tabung ayam, sebaliknya di tempat yang selamat.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, lebih banyak program seumpama itu akan diadakan tahun ini bagi memberi peluang rakyat merasa 'dekat' dengan bank pada setiap waktu.

Monday, June 10, 2013

Indonesia tahan 6 nelayan Malaysia

PONTIAN 9 Jun - Selepas insiden enam nelayan Pontian ditahan pihak berkuasa Indonesia kira-kira dua tahun lalu, kini giliran enam lagi nelayan daerah itu menerima nasib serupa apabila ditangkap pasukan penguat kuasa Kementerian Perikanan dan Kelautan Indonesia pada 22 Mei lalu.
Penahanan tersebut dibuat berhampiran daerah Belerang, Batam, Indonesia pada pukul 11 pagi selepas dua jam kumpulan nelayan itu meninggalkan jeti nelayan Pontian Kecil dengan sebuah bot pukat tunda bernombor JHF719B untuk menangkap ikan.
Mereka yang ditahan ialah Mohd. Salleh Abdul Rahman, 29, serta anak-anak kapal, Jeffry Karim, 33, Samsudin Bachok, 37, Ahmad Nazhan Mohd. Nazri, 18, Mohd. Suria Abdul Rahman, 18, dan Idris Mohd. Rohani, 24.
Pemilik bot tersebut, Abdul Rahman Yusof, 65, berkata, maklumat mengenai kejadian tersebut diterima melalui alat perhubungan oleh tekong kapal yang juga anak beliau, Mohd. Salleh.
Katanya, seorang lagi anaknya, Mohd. Suria turut mengikuti kumpulan nelayan itu.
"Kami di sini cuba untuk menghubungi kedua-duanya namun gagal lalu meminta pertolongan daripada rakan-rakan yang lain bagi mengesan mereka.
"Berita berhubung penahanan oleh penguat kuasa Kementerian Perikanan dan Kelautan Indonesia itu hanya diketahui oleh rakan nelayan lain pada sebelah petang.
"Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian keesokannya supaya siasatan segera dapat dilakukan bagi mengenal pasti punca penahanan tersebut. Mohd. Salleh kini ditahan di penjara Batam, manakala Mohd. Suria dan empat yang lain di Belerang untuk menunggu siasatan berhubung dakwaan pencerobohan," katanya selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan di sini hari ini.
Kali terakhir insiden penahanan nelayan Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia adalah pada 8 Mac 2011, pada jarak 22.5 kilometer dari perairan Senggaram, Batu Pahat namun dibebaskan pada 6 Januari 2012 selepas menjalani hukuman penjara selama 10 bulan di Bengkalis dan mendapat pengampunan daripada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Perjanjian Bali yang ditandatangani pada 27 Januari 2012 antara Susilo dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengandungi persetujuan agar pihak berkuasa kedua-dua negara tidak menangkap nelayan dari kedua-dua negara di kawasan maritim yang belum dimuktamadkan persempadanan dan hanya meminta meninggalkan kawasan berkenaan.
Antara lain yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Garispanduan Bersama Tentang Pelayanan Terhadap Nelayan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Indonesia itu adalah penerangan berterusan kedua-dua belah pihak kepada nelayan masing-masing agar tidak memasuki kawasan-kawasan terbabit bagi mengelakkan sebarang masalah.
Abdul Rahman berharap kerajaan dapat mengusahakan pembebasan keenam-enam nelayan tersebut kerana penahanan dibuat di kawasan yang terletak di sempadan kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Wisma Putra dan perbincangan antara kedua-dua negara sedang berjalan.
Menurutnya, bantuan turut diminta daripada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) supaya kes tersebut dapat diselesaikan dengan segera kerana Perjanjian Bali menuntut Kuala Lumpur dan Jakarta saling membantu sekiranya berlaku kes penahanan nelayan membabitkan kesalahan menceroboh kawasan perairan.
"Kami berharap perjanjian itu dapat membantu meleraikan (masalah ini) memandangkan keenam-enam mereka hanya melakukan kesalahan menceroboh perairan negara. Kawasan penahanan juga dipercayai sebagai 'berkecuali' dan pihak berkuasa di sana sepatutnya memahami tindakan tersebut," katanya.
 

Friday, June 7, 2013

Asas pasaran modal KLCI masih kukuh

KUALA LUMPUR 6 Jun - Asas pasaran modal di Bursa Malaysia masih kukuh melalui beberapa siri lonjakan di papan indek utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) sejak tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tajuddin Atan.
"Sejak tahun lepas, indeks FBM KLCI telah mencatatkan lonjakan sebanyak 29 kali dan juga mencatatkan kenaikan luar biasa sehari selepas keputusan pilihan raya umum baru-baru ini," kata beliau kepada pemberita di sini.
Bursa Malaysia Bhd hari ini menerima kunjungan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Tajuddin berkata, kenaikan berkenaan jelas menunjukan asas pasaran modal tempatan adalah kukuh dan dapat terus mempamerkan peluang pelaburan di Bursa Malaysia kepada institusi tempatan dan asing.
Pengukuhan indeks utama di Bursa Malaysia turut dibantu oleh penglibatan aktif pelabur asing yang telah menjadi 'pembeli bersih' di pasaran sejak 13 bulan lepas, jelas beliau.
"Penglibatan mereka ini merupakan satu pengesahan bahawa program-program kerajaan seperti Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan telah mula membuahkan hasil," kata beliau.
Beliau juga menjangka momentum positif ini akan terus berkekalan sehingga akhir tahun ini.
Sementara itu, Ahmad berkata, kestabilan politik yang dicapai oleh negara antara faktor utama yang menarik pelabur asing ke pasaran tempatan.
Timbalan Menteri itu juga berpendapat, untuk enam bulan akan datang syarikat-syarikat yang bakal tersenarai di papan Bursa juga masih menarik seperti tahun lepas.
"Sekalipun tidak sebesar tahun lepas (syarikat yang disenarai), tetapi tahun ini juga tidak kurang menariknya dari segi jumlah syarikat yang terlibat," ujar beliau. - BERNAMA

KWAP sasar saiz dana RM100b

KUALA LUMPUR 6 Jun - Kumpulan Wang Persaraan Malaysia (KWAP) menyasarkan saiz dananya mencecah RM100 bilion pada hujung tahun ini berbanding RM93 bilion ketika ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, sasaran itu mampu dicapai memandangkan keadaan ekonomi negara yang kukuh yang akan membuka peluang untuk meninjau pembelian aset pada masa depan.
"Setakat ini, KWAP mempunyai dua hartanah masing -masing di London dan Australia.
"Kita mempunyai jabatan yang menguruskan portfolio pelaburan di dalam dan luar negara yang akan membantu melihat pelaburan yang berpotensi dan berhasrat untuk membeli aset yang berisiko rendah di luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke KWAP di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.
KWAP menetapkan 90 peratus dari jumlah pelaburannya untuk pelaburan tempatan manakala 10 peratus bagi pelaburan di luar negara.
Katanya, setakat ini KWAP mempunyai 600,000 ahli dan memfokuskan kepada tiga jenis pelaburan iaitu hartanah, infrastruktur dan saham swasta.
"KWAP akan terus menambah aset agar dapat memberi pulangan kepada senarai penerima pulangan pesara," katanya.

Bursa: Foreign fund inflow sustainable


Momentum Bursa berterusan


'Super bull run' diramal berulang


Capaian perbankan EBB naik 78 peratus


BSN sasar tawar lebih banyak khidmat EBB


BSN lantik 5,000 ejen


'It's about acting against law-breakers'


Tuesday, June 4, 2013


Kementerian Kewangan serah RM10,000 bantu mangsa tragedi


Imbangi pembangunan rohani

Ahmad Maslan bersama graduan dalam Majlis Penyampaian Sijil Darjah Khas Lulusan Tahun 2012 Sekolah Agama Kerajaan Johor di Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 3 Jun - Kecemerlangan dalam pendidikan agama adalah penting bagi mengimbangi pembangunan rohani generasi muda Islam supaya sentiasa dibentengi iman dan takwa sekali gus mempunyai jati diri yang lengkap dalam mendepani cabaran masa kini.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, perkembangan mutakhir itu memperlihatkan golongan muda kehilangan jati diri walaupun menunjukkan pencapaian dan kecemerlangan dalam pendidikan.

"Penekanan yang diberikan kerajaan dalam pendidikan agama menunjukkan betapa pentingnya bidang itu sebagai panduan kepada mereka biarpun sejauh mana kejayaan dicapai.

"Kejayaan hari ini perlu ditingkatkan supaya umat Islam maju dalam ekonomi, kewangan, teknologi maklumat dan pelbagai bidang lain.

"Pendidikan mampu mengubah nasib seseorang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga bidang agama yang menawarkan pengajian sehingga ke peringkat universiti," katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Darjah Khas Lulusan Tahun 2012 Sekolah Agama Kerajaan Johor bagi peringkat daerah Pontian di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Agama Daerah Pontian, Abu Sani Kalam.

Seramai 596 pelajar sekolah agama darjah khas di Pontian menerima sijil sebagai tanda tamat pengajian di sekolah agama bermula dari darjah satu hingga ke darjah khas.

Dalam majlis tersebut, bekas pelajar Sekolah Agama Lebai Mohd. Yaacob 2, Ayer Baloi, Ainnur Aszrain Sabrina Asnan, 14, yang kini menuntut di MRSM tersebut dipilih sebagai pelajar terbaik selepas memperolehi keputusan tujuh agregat.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, lulusan sekolah agama merupakan penyambung kepada kelangsungan pendidikan agama di negara ini bagi terus mendidik serta melahirkan generasi muda Islam yang beriman pada masa depan.

"Peranan serta tanggungjawab mereka adalah sama penting bagi membangunkan negara ini mengikut bidang masing-masing walaupun tanpa segulung ijazah.

"Dengan ilmu yang ada, mereka boleh membantu keluarga masing-masing, rakan-rakan di tempat kerja mahupun masyarakat yang memerlukan," katanya.

'BN parti tunggal adalah mustahil'

PONTIAN 1 Jun - Cadangan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal dengan membubarkan parti-parti komponen, termasuk UMNO amat sukar dan mustahil untuk dilaksanakan kerana ia akan menimbulkan kekecewaan 3.4 juta ahli UMNO yang telah memberi sokongan padu kepada parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, beliau sendiri tidak bersetuju dengan cadangan yang dibangkitkan oleh Gerakan jika membawa kepada pembubaran UMNO, malah, etnik minoriti Sabah dan Sarawak juga tidak akan mempunyai wakil seperti mana melalui parti-parti yang bernaung di bawah BN.
“Justeru, makmal bagi membincang dan membuat kajian mengenai perkara tersebut perlu segera beroperasi bagi mendapatkan pandangan daripada ahli-ahli UMNO sama ada cadangan itu relevan atau sebaliknya kerana ia kini menjadi bahan bualan dari kedai kopi ke lobi hotel.
“UMNO telah membuktikan parti itu telah mendapat sokongan kuat apabila memenangi 88 kerusi dalam PRU-13 dan sebarang langkah untuk membubarkan dikhuatiri boleh menjejaskan kekuatannya," katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Sekolah Agama Seri Anom, Sanglang di sini hari ini.


Kementerian Kewangan perkukuh PKEN - Ahmad Maslan



SEREMBAN 3 Jun - Kementerian Kewangan bakal menjalankan kajian khas berhubung pengukuhan dan hala tuju Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) bagi menilai tahap keberkesanan fungsi serta prestasi di setiap negeri.
Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata, kajian selama enam bulan itu selaras dengan hasrat kementerian berkenaan mengawal, memantau dan membantu melonjakkan prestasi PKEN.
Katanya, kementerian itu telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi tujuan tersebut yang akan dimulakan 14 Jun ini.
"Apa yang penting, kajian ini turut dijadikan sebagai garis panduan selain membantu kementerian melihat serta memantau perkembangan pinjaman, geran serta aktiviti dan program pembangunan yang dijalankan oleh perbadanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat bersama Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Eksekutif PKNNS, Datuk Mohd. Yusof Yunus.
Menurut beliau, kajian itu wajar dilakukan berikutan prestasi perbadanan tidak seiring dan berbeza di setiap negeri.
"Buat masa ini ada perbadanan yang mencatatkan prestasi amat memberangsangkan malah ada yang ketinggalan daripada apa yang diharapkan.
"Jadi melalui kajian terperinci ini kita berharap mampu menstruktur semula pembangunan serta kemajuan prestasi di setiap perbadanan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad memberitahu, pihaknya meluluskan geran sebanyak RM6.5 juta bagi tujuan pembangunan projek Dataran Usahawan di Seremban, dekat sini.
Tambah beliau, projek itu akan membawa konsep seperti pusat beli-belah Johor Premium Outlet (JPO) di Johor Bahru.
"Projek ini akan dibina membabitkan kawasan seluas 0.6 hektar di atas tapak tanah seluas 1.2 hektar," katanya.

Draf SOP keselamatan JKDM akan lulus dalam masa terdekat

PUTRAJAYA 30 Mei - Draf standard prosedur operasi (SOP) keselamatan pegawai dan bangunan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bakal diluluskan dalam masa terdekat bagi memantapkan langkah keselamatan sedia ada.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, cadangan SOP itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Pembangunan JKDM SeMalaysia Ke-71 pada 8 dan 10 Mei lalu.
Beliau berkata, terdapat tiga perkara terkandung dalam SOP itu dengan yang pertama melibatkan pendekatan mewujudkan dua buah pasukan tindakan kecemasan di setiap negeri.
Perkara kedua, tambahnya, menyediakan prosedur pengendalian pengiring dan kawalan untuk menjaga keselamatan pegawai tertinggi jabatan melibatkan gred tertentu.
“Perkara ketiga pula melibatkan keselamatan bangunan dan kuarters JKDM dan ini termasuklah memasang pengimbas kerana risiko keselamatan yang dihadapi pegawai semakin tinggi," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke JKDM, di sini hari ini. - UTUSAN


Jangan terpedaya fitnah berterusan pembangkang

PONTIAN 27 Mei - Pembangkang perlu segera menghentikan segala pembohongan yang mengelirukan rakyat mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 malah tindakan menganjurkan siri perhimpunan haram adalah amat dikesali.
Ketua Penerangan dan Publistiti BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, tidak cukup dengan itu, pembangkang menggunakan saluran media sosial untuk terus menabur fitnah kerana perkara yang didakwa berlaku pada hari pengundian pada 5 Mei lalu adalah palsu.
"Tuduhan pembangkang yang mendakwa mereka berhak menang melalui undi popular juga merupakan satu pembohongan kepada rakyat. Namun dalam beberapa dakwaan yang dibuat, didapati terkena 'batang hidung' sendiri yang menunjukkan mereka sengaja hendak mencetuskan suasana huru-hara semasa hari pengundian.
"Rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan apa yang disampaikan oleh mereka dan menapis maklumat yang disebarkan sama ada fakta atau 'auta' dari pihak pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen pelajar-pelajar Darjah Khas Daerah Pontian di MRSM Pontian, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai insiden lampu padam semasa pengiraan undi yang sebenarnya dilakonkan lebih awal untuk disebarkan di internet.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, tindakan tegas perlu diambil keatas mereka yang menyebarkan di internet termasuk 'pelakon' lampu padam kerana terlibat dalam dakyah pembangkang yang mahu meraih simpati rakyat sedangkan tiada satu pun laporan polis dibuat berkaitan kejadian tersebut.
"Mereka yang melakukan babak lampu padam sebenarnya telah terpedaya dan ditipu oleh pembangkang yang telah bersedia dengan pelbagai dakwaan apabila mereka gagal menawan Putrajaya," tegasnya.
Kata beliau lagi, rakyat sewajarnya menolak segala bentuk penyebaran maklumat tidak berasas yang sengaja dilakukan oleh golongan yang kecewa termasuk mengheret rakyat ke pentas jalanan bagi menumbangkan kerajaan sedia ada.

Kerajaan cadang RTC kekal di Perlis

PADANG BESAR 26 Mei - Kerajaan Pusat bercadang menubuhkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) kekal di negeri ini dalam usaha memberikan pelbagai kemudahan perkhidmatan kepada rakyat di luar bandar.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, RTC merupakan sebuah pusat sehenti yang akan menyediakan 20 perkhidmatan untuk orang ramai.
“Dengan RTC, orang ramai tidak perlu membuang masa datang ke bandar untuk berurusan dengan setiap jabatan yang terletak di lokasi berbeza," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) anjuran Kementerian Kewangan di Felcra Lubok Sireh, Kaki Bukit di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembangunan Sumber Manusia negeri, Khairi Hassan.
Sempena dengan program ini juga, diadakan sukaneka, sukan rakyat dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak Kemas.
Ahmad berkata, program Mobile CTC juga akan diperhebatkan ke seluruh negara khususnya di kawasan di luar bandar.
Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 30 buah agensi terlibat dalam program Mobile CTC dan antara perkhidmatan yang disediakan termasuk membuat kad pengenalan, memperbaharui lesen memandu, bayaran zakat dan pendaftaran syarikat.
“Mobile CTC juga menyediakan platform untuk rakyat mendapat bantuan kerajaan yang disalurkan terus kepada kumpulan sasar," katanya.
Menurut Ahmad, Felcra Lubok Sireh adalah destinasi ke-14 Mobile CTC dan kunjungan ke dua di Perlis selepas Jelajah Janji Ditepati (JJD) pada Mac lalu.
Kata beliau, dengan falsafah Mobile CTC, kini rakyat tidak perlu lagi datang kepada kerajaan sebaliknya kerajaan yang datang kepada mereka untuk menawarkan perkhidmatan.

NextGen e-Perolehan dijangka diguna 2015 - Timbalan Menteri

PUTRAJAYA 24 Mei - Sistem e-Perolehan versi baru atau lebih dikenali sebagai NextGen ePerolehan dijangka digunakan mulai 2015.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, pada masa ini kira-kira 20 peratus daripada sistem baharu itu telah disiapkan.
"Ia merupakan usaha menambahbaik urusan perolehan kerajaan persekutuan, sekaligus meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke tapak pameran kementerian sempena Festival Belia Putrajaya 2013 di sini hari ini.
E-Perolehan merupakan aplikasi yang dibangunkan kerajaan di mana agensi kerajaan dan pembekal berurusan secara dalam talian untuk melaksanakan perolehan kerajaan bagi peruntukan bekalan dan perkhidmatan. - BERNAMA