Friday, June 7, 2013

Asas pasaran modal KLCI masih kukuh

KUALA LUMPUR 6 Jun - Asas pasaran modal di Bursa Malaysia masih kukuh melalui beberapa siri lonjakan di papan indek utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) sejak tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tajuddin Atan.
"Sejak tahun lepas, indeks FBM KLCI telah mencatatkan lonjakan sebanyak 29 kali dan juga mencatatkan kenaikan luar biasa sehari selepas keputusan pilihan raya umum baru-baru ini," kata beliau kepada pemberita di sini.
Bursa Malaysia Bhd hari ini menerima kunjungan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Tajuddin berkata, kenaikan berkenaan jelas menunjukan asas pasaran modal tempatan adalah kukuh dan dapat terus mempamerkan peluang pelaburan di Bursa Malaysia kepada institusi tempatan dan asing.
Pengukuhan indeks utama di Bursa Malaysia turut dibantu oleh penglibatan aktif pelabur asing yang telah menjadi 'pembeli bersih' di pasaran sejak 13 bulan lepas, jelas beliau.
"Penglibatan mereka ini merupakan satu pengesahan bahawa program-program kerajaan seperti Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan telah mula membuahkan hasil," kata beliau.
Beliau juga menjangka momentum positif ini akan terus berkekalan sehingga akhir tahun ini.
Sementara itu, Ahmad berkata, kestabilan politik yang dicapai oleh negara antara faktor utama yang menarik pelabur asing ke pasaran tempatan.
Timbalan Menteri itu juga berpendapat, untuk enam bulan akan datang syarikat-syarikat yang bakal tersenarai di papan Bursa juga masih menarik seperti tahun lepas.
"Sekalipun tidak sebesar tahun lepas (syarikat yang disenarai), tetapi tahun ini juga tidak kurang menariknya dari segi jumlah syarikat yang terlibat," ujar beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment