Tuesday, June 4, 2013

Imbangi pembangunan rohani

Ahmad Maslan bersama graduan dalam Majlis Penyampaian Sijil Darjah Khas Lulusan Tahun 2012 Sekolah Agama Kerajaan Johor di Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 3 Jun - Kecemerlangan dalam pendidikan agama adalah penting bagi mengimbangi pembangunan rohani generasi muda Islam supaya sentiasa dibentengi iman dan takwa sekali gus mempunyai jati diri yang lengkap dalam mendepani cabaran masa kini.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, perkembangan mutakhir itu memperlihatkan golongan muda kehilangan jati diri walaupun menunjukkan pencapaian dan kecemerlangan dalam pendidikan.

"Penekanan yang diberikan kerajaan dalam pendidikan agama menunjukkan betapa pentingnya bidang itu sebagai panduan kepada mereka biarpun sejauh mana kejayaan dicapai.

"Kejayaan hari ini perlu ditingkatkan supaya umat Islam maju dalam ekonomi, kewangan, teknologi maklumat dan pelbagai bidang lain.

"Pendidikan mampu mengubah nasib seseorang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga bidang agama yang menawarkan pengajian sehingga ke peringkat universiti," katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Darjah Khas Lulusan Tahun 2012 Sekolah Agama Kerajaan Johor bagi peringkat daerah Pontian di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Agama Daerah Pontian, Abu Sani Kalam.

Seramai 596 pelajar sekolah agama darjah khas di Pontian menerima sijil sebagai tanda tamat pengajian di sekolah agama bermula dari darjah satu hingga ke darjah khas.

Dalam majlis tersebut, bekas pelajar Sekolah Agama Lebai Mohd. Yaacob 2, Ayer Baloi, Ainnur Aszrain Sabrina Asnan, 14, yang kini menuntut di MRSM tersebut dipilih sebagai pelajar terbaik selepas memperolehi keputusan tujuh agregat.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, lulusan sekolah agama merupakan penyambung kepada kelangsungan pendidikan agama di negara ini bagi terus mendidik serta melahirkan generasi muda Islam yang beriman pada masa depan.

"Peranan serta tanggungjawab mereka adalah sama penting bagi membangunkan negara ini mengikut bidang masing-masing walaupun tanpa segulung ijazah.

"Dengan ilmu yang ada, mereka boleh membantu keluarga masing-masing, rakan-rakan di tempat kerja mahupun masyarakat yang memerlukan," katanya.

No comments:

Post a Comment