Monday, June 10, 2013

Indonesia tahan 6 nelayan Malaysia

PONTIAN 9 Jun - Selepas insiden enam nelayan Pontian ditahan pihak berkuasa Indonesia kira-kira dua tahun lalu, kini giliran enam lagi nelayan daerah itu menerima nasib serupa apabila ditangkap pasukan penguat kuasa Kementerian Perikanan dan Kelautan Indonesia pada 22 Mei lalu.
Penahanan tersebut dibuat berhampiran daerah Belerang, Batam, Indonesia pada pukul 11 pagi selepas dua jam kumpulan nelayan itu meninggalkan jeti nelayan Pontian Kecil dengan sebuah bot pukat tunda bernombor JHF719B untuk menangkap ikan.
Mereka yang ditahan ialah Mohd. Salleh Abdul Rahman, 29, serta anak-anak kapal, Jeffry Karim, 33, Samsudin Bachok, 37, Ahmad Nazhan Mohd. Nazri, 18, Mohd. Suria Abdul Rahman, 18, dan Idris Mohd. Rohani, 24.
Pemilik bot tersebut, Abdul Rahman Yusof, 65, berkata, maklumat mengenai kejadian tersebut diterima melalui alat perhubungan oleh tekong kapal yang juga anak beliau, Mohd. Salleh.
Katanya, seorang lagi anaknya, Mohd. Suria turut mengikuti kumpulan nelayan itu.
"Kami di sini cuba untuk menghubungi kedua-duanya namun gagal lalu meminta pertolongan daripada rakan-rakan yang lain bagi mengesan mereka.
"Berita berhubung penahanan oleh penguat kuasa Kementerian Perikanan dan Kelautan Indonesia itu hanya diketahui oleh rakan nelayan lain pada sebelah petang.
"Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian keesokannya supaya siasatan segera dapat dilakukan bagi mengenal pasti punca penahanan tersebut. Mohd. Salleh kini ditahan di penjara Batam, manakala Mohd. Suria dan empat yang lain di Belerang untuk menunggu siasatan berhubung dakwaan pencerobohan," katanya selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan di sini hari ini.
Kali terakhir insiden penahanan nelayan Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia adalah pada 8 Mac 2011, pada jarak 22.5 kilometer dari perairan Senggaram, Batu Pahat namun dibebaskan pada 6 Januari 2012 selepas menjalani hukuman penjara selama 10 bulan di Bengkalis dan mendapat pengampunan daripada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Perjanjian Bali yang ditandatangani pada 27 Januari 2012 antara Susilo dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengandungi persetujuan agar pihak berkuasa kedua-dua negara tidak menangkap nelayan dari kedua-dua negara di kawasan maritim yang belum dimuktamadkan persempadanan dan hanya meminta meninggalkan kawasan berkenaan.
Antara lain yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Garispanduan Bersama Tentang Pelayanan Terhadap Nelayan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Indonesia itu adalah penerangan berterusan kedua-dua belah pihak kepada nelayan masing-masing agar tidak memasuki kawasan-kawasan terbabit bagi mengelakkan sebarang masalah.
Abdul Rahman berharap kerajaan dapat mengusahakan pembebasan keenam-enam nelayan tersebut kerana penahanan dibuat di kawasan yang terletak di sempadan kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Wisma Putra dan perbincangan antara kedua-dua negara sedang berjalan.
Menurutnya, bantuan turut diminta daripada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) supaya kes tersebut dapat diselesaikan dengan segera kerana Perjanjian Bali menuntut Kuala Lumpur dan Jakarta saling membantu sekiranya berlaku kes penahanan nelayan membabitkan kesalahan menceroboh kawasan perairan.
"Kami berharap perjanjian itu dapat membantu meleraikan (masalah ini) memandangkan keenam-enam mereka hanya melakukan kesalahan menceroboh perairan negara. Kawasan penahanan juga dipercayai sebagai 'berkecuali' dan pihak berkuasa di sana sepatutnya memahami tindakan tersebut," katanya.
 

No comments:

Post a Comment