Tuesday, June 4, 2013

Jangan terpedaya fitnah berterusan pembangkang

PONTIAN 27 Mei - Pembangkang perlu segera menghentikan segala pembohongan yang mengelirukan rakyat mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 malah tindakan menganjurkan siri perhimpunan haram adalah amat dikesali.
Ketua Penerangan dan Publistiti BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, tidak cukup dengan itu, pembangkang menggunakan saluran media sosial untuk terus menabur fitnah kerana perkara yang didakwa berlaku pada hari pengundian pada 5 Mei lalu adalah palsu.
"Tuduhan pembangkang yang mendakwa mereka berhak menang melalui undi popular juga merupakan satu pembohongan kepada rakyat. Namun dalam beberapa dakwaan yang dibuat, didapati terkena 'batang hidung' sendiri yang menunjukkan mereka sengaja hendak mencetuskan suasana huru-hara semasa hari pengundian.
"Rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan apa yang disampaikan oleh mereka dan menapis maklumat yang disebarkan sama ada fakta atau 'auta' dari pihak pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen pelajar-pelajar Darjah Khas Daerah Pontian di MRSM Pontian, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai insiden lampu padam semasa pengiraan undi yang sebenarnya dilakonkan lebih awal untuk disebarkan di internet.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, tindakan tegas perlu diambil keatas mereka yang menyebarkan di internet termasuk 'pelakon' lampu padam kerana terlibat dalam dakyah pembangkang yang mahu meraih simpati rakyat sedangkan tiada satu pun laporan polis dibuat berkaitan kejadian tersebut.
"Mereka yang melakukan babak lampu padam sebenarnya telah terpedaya dan ditipu oleh pembangkang yang telah bersedia dengan pelbagai dakwaan apabila mereka gagal menawan Putrajaya," tegasnya.
Kata beliau lagi, rakyat sewajarnya menolak segala bentuk penyebaran maklumat tidak berasas yang sengaja dilakukan oleh golongan yang kecewa termasuk mengheret rakyat ke pentas jalanan bagi menumbangkan kerajaan sedia ada.

No comments:

Post a Comment