SEREMBAN 3 Jun - Kementerian Kewangan bakal menjalankan kajian khas berhubung pengukuhan dan hala tuju Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) bagi menilai tahap keberkesanan fungsi serta prestasi di setiap negeri.
Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata, kajian selama enam
bulan itu selaras dengan hasrat kementerian berkenaan mengawal, memantau
dan membantu melonjakkan prestasi PKEN.
Katanya, kementerian itu telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi tujuan tersebut yang akan dimulakan 14 Jun ini.
"Apa yang penting, kajian ini turut dijadikan sebagai garis panduan
selain membantu kementerian melihat serta memantau perkembangan
pinjaman, geran serta aktiviti dan program pembangunan yang dijalankan
oleh perbadanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas
menghadiri taklimat bersama Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan
(PKNNS) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Eksekutif PKNNS, Datuk Mohd. Yusof Yunus.
Menurut beliau, kajian itu wajar dilakukan berikutan prestasi perbadanan tidak seiring dan berbeza di setiap negeri.
"Buat masa ini ada perbadanan yang mencatatkan prestasi amat
memberangsangkan malah ada yang ketinggalan daripada apa yang
diharapkan.
"Jadi melalui kajian terperinci ini kita berharap mampu menstruktur
semula pembangunan serta kemajuan prestasi di setiap perbadanan,"
katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad memberitahu, pihaknya meluluskan geran
sebanyak RM6.5 juta bagi tujuan pembangunan projek Dataran Usahawan di
Seremban, dekat sini.
Tambah beliau, projek itu akan membawa konsep seperti pusat beli-belah Johor Premium Outlet (JPO) di Johor Bahru.
"Projek ini akan dibina membabitkan kawasan seluas 0.6 hektar di atas tapak tanah seluas 1.2 hektar," katanya.
No comments:
Post a Comment