Tuesday, June 4, 2013

Kerajaan cadang RTC kekal di Perlis

PADANG BESAR 26 Mei - Kerajaan Pusat bercadang menubuhkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) kekal di negeri ini dalam usaha memberikan pelbagai kemudahan perkhidmatan kepada rakyat di luar bandar.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, RTC merupakan sebuah pusat sehenti yang akan menyediakan 20 perkhidmatan untuk orang ramai.
“Dengan RTC, orang ramai tidak perlu membuang masa datang ke bandar untuk berurusan dengan setiap jabatan yang terletak di lokasi berbeza," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) anjuran Kementerian Kewangan di Felcra Lubok Sireh, Kaki Bukit di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembangunan Sumber Manusia negeri, Khairi Hassan.
Sempena dengan program ini juga, diadakan sukaneka, sukan rakyat dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak Kemas.
Ahmad berkata, program Mobile CTC juga akan diperhebatkan ke seluruh negara khususnya di kawasan di luar bandar.
Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 30 buah agensi terlibat dalam program Mobile CTC dan antara perkhidmatan yang disediakan termasuk membuat kad pengenalan, memperbaharui lesen memandu, bayaran zakat dan pendaftaran syarikat.
“Mobile CTC juga menyediakan platform untuk rakyat mendapat bantuan kerajaan yang disalurkan terus kepada kumpulan sasar," katanya.
Menurut Ahmad, Felcra Lubok Sireh adalah destinasi ke-14 Mobile CTC dan kunjungan ke dua di Perlis selepas Jelajah Janji Ditepati (JJD) pada Mac lalu.
Kata beliau, dengan falsafah Mobile CTC, kini rakyat tidak perlu lagi datang kepada kerajaan sebaliknya kerajaan yang datang kepada mereka untuk menawarkan perkhidmatan.

No comments:

Post a Comment