Sunday, October 20, 2013

Pilih Pemimpin Yang Mampu Bawa Kegemilangan Kepada UMNO – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 18 Okt -  Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengingatkan perwakilan yang bakal memilih barisan kepimpinan baharu parti esok, agar menaikkan calon yang dapat bekerja untuk parti selain membawa kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-14.

“Carilah faktor (yang ada pada calon) yang boleh membantu kegemilangan UMNO dalam mendapat undi dua pertiga seperti sebelum ini,” katanya selepas menghadiri prapelancaran mengumpul dana untuk pembinaan Madrasah Integrasi Islam Malaysia, di sini hari ini.

semangat-pemimpin-umno-perhimpunan-majlis-tertinggi-pemilihan

Beliau diminta mengulas mengenai pemilihan peringkat bahagian dan pusat UMNO yang akan berlangsung serentak esok membabitkan 144,297 perwakilan dari seluruh negara, kecuali Sarawak.

Bagi pemilihan peringkat pusat, sebanyak 71 calon bertanding bagi jawatan timbalan pengerusi tetap, naib presiden dan anggota Majlis Tertinggi.

Ditanya mengenai pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Ahmad berkata PRK itu menjadi medan pertarungan pertama bagi barisan kepimpinan baharu Umno untuk merampas DUN berkenaan daripada Pas.

“Mereka yang dipilih itu mestilah sudah bersiap sedia kerana PRK semakin dekat dan banyak yang perlu dibuat bagi menambat hati pengundi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Okt ini sebagai hari penamaan calon dan 4 Nov hari pengundian. Kawasan itu mempunyai 27,222 pemilih.

Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan calonnya pada 21 Okt ini.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong selepas penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, meninggal dunia pada 26 Sept lalu.

Sumber umno online

No comments:

Post a Comment