Friday, June 12, 2015

PELAKSANAAN GST DISAMBUT BAIK PENGUSAHA SYARIKAT


June 11, 2015

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menjelaskan sambutan baik diterima daripada pengusaha dan data mencatatkan sebanyak 380,313 syarikat dan entiti telah berdaftar di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga semalam.

Beliau berkata semasa sesi Dewan Rakyat di Parlimen hari ini, jumlah tersebut melebihi sasaran asal kerajaan yang menjangkakan 240,000 syarikat akan berdaftar di bawah GST.

“Oleh itu kerajaan akan meneruskan usaha-usaha penerangan kepada syarikat-syarikat ini berkenaan GST, ” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah.

Ahmad Maslan mahu kementerian kewangan menyatakan tahap dan suasana pelaksanaan GST dan langkah bagi mendepani kelemahan berkaitan pelaksanaannya.

Menurut Ahmad Maslan lagi, sehingga 30 Mei lepas, kira-kira 500 sesi program ‘hand holding’ telah dijalankan melibatkan 59,000 orang dari pelbagai sektor perniagaan dan dijangkakan sebanyak 250 lagi program serupa akan diadakan di masa depan bagi memenuhi keperluan entiti perniagaan.

“Kastam juga telah menubuhkan meja bantuan GST di setiap negeri untuk membimbing peniaga menguruskan GST.”

“Panduan menyeluruh dalam portal Jabatan Kastam disediakan untuk peniaga buat tuntutan atau bayaran GST,” jelas beliau

Ahmad Maslan berkata, sebanyak 42 pertemuan Jabatan Kastam bersama pelanggan telah dijadualkan bermula 8 Jun lepas hingga 3 Julai depan bagi membantu pelanggan yang mempunyai masalah dengan GST.

“Invois secara manual boleh dibuat sehingga 30 september 2015 dengan syarat nombor GST mesti dicetak di atas invois manual tersebut.” Jelas Ahmad Maslan ketika ditanya salah seorang Ahli Parlimen.

Tambah Ahmad Maslan, sebagai usaha melancarkan pelaksanan GST, Jabatan Kastam juga telah membuat pengambilan pegawai baru seramai 805 orang, penempatan semula seramai 1,143 pegawai mengikut keperluan dan 557 pegawai audit GST.

Beliau turut menjelaskan, kutipan import GST sehingga semalam berjumlah sebanyak RM3.37 bilion manakala kutipan bersih tempatan pula berjumlah sebanyak RM2.95 bilion.

No comments:

Post a Comment