Monday, August 21, 2017

Ucapan Perasmian Hari Merdeka ke-60 MITI

Yang Berbahagia Tan Sri Faizah Mohd Tahir,
Pengerusi SME Bank;

Yang Berbahagia Dato’ Razman Mohd Noor,
Ketua Pegawai Operasi, Pengurusan Korporat Kumpulan dan Operasi;

Yang Berbahagia Datuk Kamaluddin Ismail,
Ketua Pegawai Operasi Perbankan;

Pengurusan Kanan SME Bank;

Tuan-tuan dan Puan-puan.

Assalamuailaikum Warahmatullah hiwabarakatuh, dan Salam Sejahtera.


Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi kerana kita masih diberi peluang untuk terus bersama pada tahun ini untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-60 tidak lama lagi. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada SME Bank kerana menjemput saya untuk menyerikan lagi majlis ini. Ini adalah kali kedua saya hadir untuk meraikan majlis sambutan Hari Kebangsaan peringkat SME Bank.

Tahniah kepada SME Bank kerana mengambil inisiatif untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan. Sesungguhnya tarikh 31 Ogos 2017 merupakan satu detik bersejarah yang perlu kita hayati. Di dalam kita semakin maju ke hadapan dengan era digital, kita tidak seharusnya melupakan masa silam kita kerana tiada yang baru sekiranya tiada yang lama.

Selama 60 tahun Malaysia merdeka, kita dapat saksikan pelbagai kemajuan yang telah kita kecapi. Kemajuan ataupun kejayaan ini tidak datang bergolek. Ramai yang telah berkorban untuk membolehkan kita menikmatinya pada hari ini. Sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negaranya, kita perlu bersyukur dengan apa yang telah kita capai dan memastikan perpaduan dan kejayaan yang kita capai selama ini terus berkekalan.

Untuk memastikan perkara ini berlaku, generasi masa kini perlu didedahkan dengan nilai-nilai patriotism agar mereka tidak hanyut dengan arus kemodenan dan seterusnya lupa akan asal usul mereka. Saya akui kita sebagai generasi terdahulu perlu mengambil pendekatan yang berlainan agar mudah untuk generasi masa kini memahaminya.

Tuan-tuan dan Puan-puan.

Saya dimaklumkan bahawa SME Bank telah menganjurkan Pertandingan Mencipta Pantun Semarak Merdeka yang bertemakan “Negaraku, Sehati Sejiwa.” Sekali lagi, syabas buat pengurusan SME Bank kerana mengambil inisiatif untuk menggalakkan kakitangan Bank mengaspirasikan perasaan mereka secara kreatif dan pada masa yang sama menghidupkan kembali tradisi melayu lama. Tahniah kepada semua yang telah mengambil bahagian.

Saya menyeru anda semua untuk menghayati dan memahami bait-bait tema Hari Kebangsaan ke-60 iaitu, “Negaraku, Sehati Sejiwa” kerana ia mempunyai makna yang lebih mendalam. Di waktu segalanya sangat mudah untuk ditularkan, saya menggesa anda semua untuk tidak mudah percayakan segala maklumat yang dibaca.

Berfikir sejenak sebelum memberikan komen atau menekan butang share kerana anda mungking menyebarkan sesuatu maklumat yang salah terutamanya jika sesuatu perkara itu melibatkan maruah negara dan pemimpin kita. Siapa lagi yang akan mempertahankan negara bangsa jika bukan rakyatnya?

Saya amat menyokong inisiatif-inisiatif yang menyemai sikap patriotism seperti majlis pada hari ini. Perkara ini bukan mudah untuk dilaksanakan tetapi dengan tekad dan semangat yang membara, saya yakin perasaan cintakan negara itu dapat dilahirkan di dalam setiap diri kita.

Sebelum saya akhiri ucapan pada pagi ini, sekali lagi saya berharap semua warga SME Bank untuk terus menghayati erti kemerdekaan dan menerapkan konsep “Sehati Sejiwa” dalam tugasan seharian anda dalam membantu dan membimbing para usahawan kita.

Hadirin sekalian,

Teruskan menjadi seorang pegawai yang berdedikasi tinggi dan berintegriti dalam menjalankan amanah yang telah diberikan oleh kerajaan. Kerana, tanpa anda, segala aspirasi tidak akan dapat dicapai.

Kepada pengurusan SME Bank, syabas di atas penganjuran majlis seperti ini dan teruskan aktiviti-aktiviti ini di masa hadapan. Dengan lafaz Bismillah hirrahmanirrahim, saya dengan rasa syukur merasmikan Majlis Sambutan Kemerdekaan ke-60!

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh.

No comments:

Post a Comment