Monday, September 11, 2017

UCAPAN ALUAN - “SESI DIALOG PERDANA INDUSTRI HALAL”

Bismillahhirrahmannirrahim...

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Negaraku dan Salam 1 Malaysia.


YAB. DATO' SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

YANG BERHORMAT MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BAHAROM (B)
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI 

YANG BERHORMAT DATUK SERI ABDUL RAHMAN DAHLAN
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

YANG BERBAHAGIA DATUK SERI HJ. RIZUAN ABD. HAMID
PENGERUSI HALAL INDUSTRY DEVELOPMENT CORPORATION (HDC)

YANG BERBAHAGIA DATUK SERI J. JAYASIRI
KETUA SETIAUSAHA MITI

YANG BERBAHAGIA DATO’ SERI JAMIL BIDIN
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF HDC 

Dif-Dif Kehormat;

Wakil-Wakil Media; 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian, 

Syukur Alhamdulillah, kita semua dapat bersama-sama hadir di Majlis yang amat bermakna pada hari ini. Sebagai mewakili Menteri MITI, Y.B Dato’ Seri Mustapa Muhamad, yang tidak dapat bersama dengan kita pada pagi ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, kerana sudi menerima jemputan menyertai Sesi Dialog Perdana Industri Halal yang pertama kali di adakan dalam sejarah pembangunan industri halal negara. Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang hadir di atas penyertaan dan sokongan yang diberikan ke arah memperkasakan lagi agenda pembangunan industri halal negara. 

Dialog Perdana ini dianjurkan oleh Halal Industry Development Corporation (HDC), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sebagai sebahagian daripada proses pembentukan Pelan Induk Industri Halal 2.0 bagi tempoh 2018 sehingga 2030. Adalah menjadi harapan kami agar menerusi Dialog Perdana ini, kita dapat berkongsi maklumat, pendapat dan menjana idea-idea baru dan konkrit bagi memperhebatkan lagi pembangunan industri halal. 

Maklumbalas berkaitan pelaksanaan program ini serta pandangan dan aspirasi rakyat adalah penting dalam pembentukan masa depan industri ini. Selain sesi Dialog, program sampingan yang turut diadakan pada hari ini termasuklah sesi townhall dan bengkel bersama pihak-pihak berkepentingan dalam industri halal dari sektor awam, swasta dan badan-badan bukan Kerajaan. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

PELAN INDUK INDUSTRI HALAL 2008-2020 (MASA KINI)

Dibawah pimpinan mantan Perdana Menteri, Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, satu Pelan Induk khusus untuk membangunkan industri halal negara telah diwujudkan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri pada tahun 2008. 

Pelan Induk ini telah menentukan bidang-bidang tumpuan serta teras strategik pembangunan industri halal negara sehingga tahun 2020. Ianya dibangunkan berasaskan kelebihan dan kekuatan sedia ada serta menetapkan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mempercepatkan pembangunan industri halal di dalam negara disamping langkah-langkah untuk memperhebatkan lagi peranan Malaysia sebagai negara peneraju pembangunan industri halal di peringkat antarabangsa. 

Sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Hab Halal Global yang terkemuka menjelang tahun 2020 terbahagi kepada 3 fasa:-

Fasa 1 (2008 – 2010) : Menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam agenda pemerkasaan integriti halal;

Fasa 2 (2010 – 2015): Menjadikan Malaysia lokasi terpilih untuk perniagaan berkaitan halal; dan

Fasa 3 (2015 – 2020): Pengantarabangsaan untuk memperluaskan ruang pasaran. 

Di bawah Fasa Ketiga, MITI bersama HDC sedang melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala dengan beberapa negara yang bertujuan mewujudkan lebih banyak “market place” dan “market space” serta meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam industri halal. 

Antaranya kolaborasi yang sedang diusahakan dengan Kerajaan Jepun untuk persiapan menyediakan barangan dan perkhidmatan halal menjelang Sukan Olimpik 2020, kerjasama dengan Kerajaan China untuk meningkatkan perdagangan halal di bawah projek “One Belt One Road”; serta kolaborasi dengan negara Arab Saudi dalam pembangunan projek “hub to hub”.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

MITI dan agensi-agensi di bawahnya akan terus komited dalam membantu semua pihak yang berkepentingan dalam industri halal melalui pelbagai program dan inisiatif yang berkaitan. Pihak MITI dan Agensi juga akan sentiasa mengambil berat mengenai keperluan para usahawan tempatan, khususnya dalam mengadaptasi teknologi terkini selaras dengan perkembangan ekonomi global dan langkah transformasi negara. 

Sehubungan itu, peserta-peserta industri halal sama ada syarikat multinasional; syarikat tempatan termasuk usahawan kecil, sederhana dan mikro; universiti; dan badan-badan bukan Kerajaan adalah digesa untuk bersama-sama Kerajaan dan mengambil bahagian secara aktif dalam program-program dan inisiatif yang disediakan ini. 

Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong inisiatif Kerajaan menerusi penganjuran Sesi Dialog Perdana Industri Halal bersama Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Halal Malaysia. 

Semoga melalui usaha murni ini kita dapat menjana idea-idea baharu serta cadangan-cadangan yang dapat dilaksanakan dan memberi manfaat kepada semua masyarakat Islam dan juga bukan Islam, di seluruh dunia. 

Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat di atas usaha murni menganjurkan Dialog ini. 

Sekian, terima kasih. 

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment