Wednesday, March 21, 2018

Sidang Dewan Rakyat : Menjawab Pertanyaan Lisan Soalan No. 5

SOALAN

Datuk Seri Haji Ahmad Bin Hamzah [ Jasin ] minta MENTERI
PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan
tahap kemajuan BCIC dalam tempoh 8 tahun yang lalu berbanding
komuniti Cina.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Program Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera
(Bumiputera Commercial and Industrial Community - BCIC) telah
diwujudkan pada tahun 2006 selaras dengan hasrat yang dinyatakan
dalam Wawasan 2020 iaitu perlunya diwujudkan masyarakat
Bumiputera yang berdaya tahan dan berdaya saing setaraf dengan
masyarakat bukan Bumiputera.

2. Melalui Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) yang telah
diperkenalkan pada tahun 2006 , Kementerian ini telah menyasarkan
untuk menggalakkan BCIC dengan:
(i) mengenalpasti sumber pertumbuhan baharu dalam sektor
pembuatan dan perkhidmatan;
(ii) meningkatkan pembangunan modal insan Bumiputera; dan
(iii) meningkatkan pertumbuhan dan menambah pemilikan BCIC
melalui pembangunan enterpris kecil dan sederhana (EKS).

3. Di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-II) yang telah
dilancarkan pada 2016, BCIC telah ditambahbaik melalui agenda
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB). Agenda PEB ini bertujuan
mewujudkan Komuniti Ekonomi Bumiputera (BEC) dengan berpaksikan
lima (5) teras utama iaitu:
(i) mendaya modal insan;
(ii) meningkat pemilikan ekuiti korporat;
(iii) mengukuhkan pemilikan aset bukan kewangan;
(iv) memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan; dan
(v) memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan.

4. Jika sebelum ini hanya sebuah kementerian sahaja yang
bertanggungjawab melaksanakan Agenda PEB, mulai tahun 2014
peranan ini diletakkan kepada semua kementerian, agensi-agensi
kerajaan, syarikat pelaburan dan syarikat berkaitan kerajaan
(GLIC/GLC), Koridor Ekonomi dan kerajaan negeri.

5. KPI Bumiputera kini menjadi sebahagian daripada KPI Menteri dan
Ketua Setiausaha semua Kementerian, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua
Pegawai Eksekutif semua GLIC/GLC. Ia dipantau secara berterusan
oleh YAB Perdana Menteri sendiri melalui Majlis Ekonomi Bumiputera
(MEB) yang diurusetiakan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan Unit
Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Jabatan Perdana Menteri
(JPM).

6. Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), JPM telah
ditubuhkan bagi menyelaras program Bumiputera di 25 buah
Kementerian. Bahagian Pembangunan Usahawan Bumiputera di setiap
Kementerian merupakan pengganti kepada Kementerian Pembangunan
Usahawan (KPUN).

7. Berdasarkan banci/census oleh Jabatan Statistik Malaysia
(DOSM) pada tahun 2016, jumlah PKS adalah sebanyak 907,065 buah
dan daripada jumlah tersebut sebanyak 354,699 atau 39.1% adalah
terdiri daripada Bumiputera manakala 552,366 atau 60.9% adalah
usahawan PKS daripada kaum lain.

8. Peratusan Usahawan PKS Bumiputera semakin meningkat
daripada tahun 2005 sebanyak 35% kepada 37% pada tahun 2011 dan
39.1% pada tahun 2016.

9. Walaupun peratusan ini menunjukkan peningkatan terhadap
peratusan jumlah entiti perniagaan Bumiputera, namun daripada jumlah
354,699 tersebut, sebanyak 88% adalah bertaraf mikro iaitu perusahaan
dengan 5 orang pekerja atau kurang dan jualan tahunan di bawah
RM300 ribu setahun.

10. Berdasarkan maklumat daripada TERAJU, sehingga Januari 2018:
(i) RM14.44 bilion merupakan nilai jumlah pelaburan swasta
Bumiputera;

(ii) RM10.1 bilion nilai dicipta selepas penyenaraian melalui
Skim Jejak Jaya Bumiputera;
(iii) RM124.6 bilion adalah nilai keseluruhan limpahan ekonomi
Bumiputera meliputi pelbagai program pembiayaan dan
modal insan.

11. Oleh itu usaha pembangunan Bangsa Usahawan Bumiputera
perlu diteruskan. Agenda Bumiputera adalah agenda nasional. Komuniti
Ekonomi Bumiputera (BEC) perlu terus dibina dengan kaedah ethnic
inclusivity paradigm atau paradigm keterangkuman etnik.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment